PELANCONGAN

Utusan Malaysia 10 April 2001

Jaminan permudah peraturan visa tarik pelancong India, China

KUALA LUMPUR 9 April - Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad hari ini memberi jaminan bahawa kerajaan akan terus berusaha mempermudahkan peraturan visa bagi menarik lebih ramai pelancong khususnya dari India dan China ke negara ini.

Menurut beliau, kerajaan menyedari kesukaran yang dialami oleh pelancong dari kedua-dua negara terbabit berhubung masalah itu dan sedang sedaya-upaya mengatasinya.

``Kita sudah mempermudahkan peraturan visa dan kini ia tidak begitu rumit. Kalau anda menghadapi masalah, sila maklumkan kepada kita kerana kadang-kala kita (kerajaan) tidak mendapat maklumat daripada kakitangan tentang apa yang sebenarnya berlaku.

``Kita sebenarnya sangat sensitif dan prihatin terhadap kritikan dan aduan berhubung masalah itu,'' katanya menjawab satu soalan pada sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Tahunan Ke-50 Persatuan Pengembaraan Asia Pasifik (PATA) di sini hari ini.

Lebih 1,000 peserta menghadiri persidangan lima hari itu yang menyaksikan Malaysia menjadi tuan rumah buat kali ketiga selepas persidangan pada 1972 dan 1986.

Sebagai bukti yang Malaysia benar-benar berusaha mempermudahkan urusan visa, Dr. Mahathir memberitahu pelancong dari China yang dulu hanya dibenarkan membuat permohonan berkumpulan kini boleh berbuat demikian secara individu.

``Kita benar-benar bertindak balas terhadap aduan kerana tidak mahu ada sebarang masalah yang akan menyusahkan pelawat negara kita,'' katanya.

Bagi pelancong dari India pula, menurut Perdana Menteri, kekurangan penerbangan dari negara itu mengehadkan kemasukan mereka ke Malaysia.

Beliau berkata, kerajaan sedang berusaha mendapatkan lebih banyak hak pendaratan bagi pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) daripada kerajaan India.

Ditanya sama ada kelembapan ekonomi Amerika Syarikat (AS) menjejaskan industri pelancongan di Malaysia, Perdana Menteri memberitahu ia tidak memberi kesan kerana jumlah pelancong dari negara itu adalah kecil berbanding dari negara-negara serantau.

Tambahan pula, katanya, Malaysia lebih menggalakkan pelancongan serantau memandangkan potensi pasaran yang besar.

Pada tahun lalu sahaja, menurut beliau, bilangan pelancong dari India dan China bertambah sebanyak 200 peratus.

``Ia merupakan pasaran yang besar. India mempunyai satu bilion penduduk dan China pula 1.3 bilion. Ia merupakan peluang besar untuk pelancongan negara,'' katanya.

Ditanya sama ada kerajaan optimis jumlah kemasukan pelancong tahun ini akan melebihi 10.22 juta orang yang dicatatkan tahun lalu, Dr. Mahathir menjangkakan kadarnya boleh mencapai 12 juta orang berasaskan catatan sejuta pelancong sebulan sejak dua bulan pertama tahun ini.

Beliau bagaimanapun berkata, pelancongan tidak mungkin melonjak menjadi industri penyumbang pendapatan tukaran asing utama kepada negara kerana sektor perkilangan khususnya permintaan terhadap mikrocip buatan tempatan masih tinggi.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi