PELANCONGAN

Utusan Malaysia 10 April 2001

Urus pelancongan cara berkekalan


DR. Mahathir Mohamad meletakkan tangannya pada tombol perasmian bagi menyempurnakan upacara pembukaan rasmi Persidangan Tahunan Ke-50 Persatuan Pengembaraan Asia Pasifik (PATA) di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra di Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 9 April - Malaysia akan terus memastikan industri pelancongan negara diuruskan atas konsep pelancongan berkekalan berasaskan alam semula jadi atau ekopelancongan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad berkata, banyak pihak percaya konsep pelancongan secara berkekalan itu boleh diharapkan bagi menyelamatkan sistem ekologi menerusi pengekalan sebahagian daripada persekitaran alam semula jadi.

``Peningkatan permintaan dan populariti pelancongan alam semula jadi telah menjadikan pembangunan mapan sesuatu yang penting kepada industri pelancongan.

``Ini telah mendorong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengisytiharkan 2002 sebagai Tahun Ekopelancongan Antarabangsa,'' katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Tahunan Ke-50 Persatuan Pengembaraan Asia Pasifik (PATA) di sini hari ini.

Bagi Malaysia, Perdana Menteri berkata, kerajaan telah menasihati pihak-pihak yang berhasrat membangunkan projek-projek pelancongan supaya mengambil sikap bertanggungjawab dan sensitif ke arah pemuliharaan alam sekitar.

``Langkah memasarkan alam semula jadi sebagai tarikan pelancong perlu mengambil kira kebersihan air, pencemaran sungai, tanah runtuh dan pengekalan spesies flora dan fauna yang terancam, apabila merancang pembangunan sesuatu destinasi pelancongan,'' katanya.

alam pada itu, Perdana Menteri mengingatkan, tugas mempromosi pelancongan dunia dalam konteks ekonomi terbuka dan liberal serta bertanggungjawab dan mapan, perlu dikongsi bersama oleh semua pihak yang terlibat dalam industri pelancongan.

Memandangkan pihak yang terlibat dalam perdagangan pengembaraan dan pelancongan jelas mendapat manfaat daripada industri itu, Dr. Mahathir berpendapat tidak salah jika mereka memainkan peranan sewajarnya terhadap negara tuan rumah, alam semula jadi dan pengguna perkhidmatan pelancongan.

Pada 1999 katanya, pelancongan seluruh dunia menjana sebanyak 11 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) secara langsung dan tidak langsung, mewujudkan 200 juta peluang kerja dan lapan peratus daripada keseluruhan pekerjaan.

Pertubuhan Pelancongan Sedunia (WTO) meramalkan bilangan pelancong seluruh dunia akan meningkat kepada 1 bilion menjelang 2010 dan mencecah 1.6 bilion pada 2020.

Tambah beliau, kira-kira 15 tahun lalu, sewaktu Malaysia menjadi tuan rumah Persidangan PATA `86, jumlah pelancong di seluruh dunia hanya kira-kira 330 juta manakala industri pelancongan dunia pada masa itu sekadar melibatkan AS$110 bilion.

``Pelancongan telah memberi faedah kepada negara-negara sedang membangun mengatasi aspek negatif yang dibawanya. Perlindungan alam sekitar dan pengekalan budaya boleh bergerak seiringan bersama membangunkan ekonomi sekiranya ia dibuat berasaskan pembangunan mapan.

``Dalam hubungan ini, masyarakat pribumi tidak patut dinafikan hak mereka untuk mendapat peluang meningkatkan taraf hidup yang lebih moden dan selesa, hanya kerana hendak memuaskan hati pelancong,'' katanya.

Oleh kerana pelancongan menekankan keamanan melalui jalinan persahabatan di antara masyarakat, Dr. Mahathir berpendapat industri itu sepatutnya dikendalikan dalam suasana harmoni melibatkan rasa hormat terhadap undang-undang dan adat resam pribumi.

Perdana Menteri gembira kerana beberapa isu berhubung hak dan tanggungjawab pihak terlibat dalam industri pelancongan yang pernah dibangkitkannya semasa Malaysia menjadi tuan rumah PATA 1986, turut dimasukkan dalam 10 perkara Kod Etika Pelancongan Global yang baru dibentuk Pertubuhan Pelancongan Sedunia (WTO).

Selain itu, Dr. Mahathir berkata, media massa perlu membuat liputan yang jujur dan seimbang mengenai acara-acara serta pembangunan sesebuah negara bagi menyediakan maklumat yang tepat dan boleh dipercayai.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi