PELANCONGAN

Utusan Malaysia 10 April 2001

Jadikan percutian satu keperluan

KUALA LUMPUR 9 April - Industri pelancongan tempatan dan rantau Asia Pasifik akan lebih berkembang jika masyarakat menukar pemikiran mereka dengan menjadikan percutian sebagai satu keperluan.

Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan, Datuk Abdul Kadir Sheikh Fadzir berkata, tanpa berbuat demikian, sektor pelancongan tidak akan berkembang pesat.

``Negara Asia Pasifik mempunyai lebih 3.8 bilion penduduk dan cabaran yang paling besar kepada industri itu adalah menarik bilangan mereka ini untuk pergi bercuti.

``Ia akan hanya berkembang jika masyarakat tidak lagi menganggap percutian sebagai budaya pilihan sebaliknya menekankan dalam pemikiran bahawa perlunya mereka melancong kerana ia adalah satu kemestian,'' katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Persidangan Tahunan Ke-50 Persatuan Pengembaraan Asia Pasifik (PATA), di sini hari ini.

Persidangan itu dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad.

Turut sama pada majlis pembukaan itu ialah Pengerusi PATA, M.P. Bezbaruah dan Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan itu, Joseph A. McInerney.

Abdul Kadir yang juga Pengerusi Jawatankuasa PATA 2001 berkata, sejak penubuhannya pada 1951, anggota-anggota PATA telah memberikan kerjasama yang erat, khususnya dalam meningkatkan industri pengembaraan dan pelancongan.

``Persatuan secara langsung dan tidak langsung membawa kemajuan dan pembangunan dalam perkhidmatan pengangkutan serta kemudahan-kemudahan lain di kalangan negara anggota.

``Perkongsian maklumat di kalangan ahli PATA juga menjadi kunci utama kepada pembangunan industri pelancongan di rantau ini,'' kata beliau.

Beliau menambah, PATA turut berjaya membawa sektor swasta dan orang awam lebih dekat kepada industri pelancongan dengan mengadakan sesi dialog, persidangan dan pameran.

Tambahnya, usaha itu seterusnya membawa pelaburan besar dalam industri terbabit.

Sementara itu, beliau berkata, Malaysia mempunyai pelbagai aset untuk diketengahkan sebagai tarikan pelancongan kerana menawarkan keunikan pelbagai kaum yang mengamalkan budaya serta adat resam selain destinasi indah dan mengagumkan.

``Persaingan bukan satu masalah besar kepada negara kerana Malaysia tetap menjadi tarikan utama para pelancong selain pada masa yang sama turut menggalakkan mereka melawat negara jiran,'' kata Abdul Kadir.

Tambah beliau, kerajaan telah berusaha membantu sektor-sektor swasta memastikan pelaburan mereka dalam industri pelancongan memberi pulangan yang memberangsangkan.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi