PELANCONGAN

Utusan Malaysia 14 April 2001

Pelancongan: Kadir kesal sikap hotel

KUANTAN 13 April - Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan kesal dengan kegagalan sebahagian pihak hotel menjalankan usaha yang benar-benar mantap bagi membantu kerajaan memajukan sektor pelancongan.

Menterinya, Datuk Abdul Kadir Sheikh Fadzir berkata, pihak hotel terbabit masih gagal melaksana banyak perkara yang telah dipersetujui menyebabkan usaha agresif kerajaan meningkatkan kedatangan pelancongan terjejas.

Katanya, antara perkara itu, termasuk kegagalan pihak hotel meningkatkan mutu perkhidmatan, mencantikkan bangunan mereka serta menonjolkan imej negara kepada para pelancong.

``Malahan, penggunaan cara menyambut tetamu dengan meletakkan tangan kanan di dada juga masih tidak dipraktikkan walaupun perkara itu mudah sahaja,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perjumpaan dan dialog dengan pengurus-pengurus hotel dan operator pelancongan di sini, hari ini.

Menurut Abdul Kadir, usaha bersungguh-sungguh kerajaan dalam meningkatkan industri pelancongan akan menjadi sia-sia sekiranya pihak hotel terus tidak menunjukkan kesungguhan dan tanggungjawab.

``Sebahagian pihak hotel ini begitu lembap. Mereka seharusnya bergerak seiring dengan kerajaan yang sentiasa agresif dalam menarik lebih ramai pelancong,'' ujarnya.

Beliau berkata, pengusaha-pengusaha hotel seharusnya mengambil sikap yang selari dengan usaha kerajaan yang mahu menjadikan Malaysia sebagai negara berfestival, berkarnival dan ceria sepanjang masa.

Katanya, usaha kerajaan menganjurkan pelbagai pesta sepanjang tahun sepatutnya diambil peluang oleh pihak hotel dengan turut menceriakan bangunan mereka.

``Sepatutnya perkara ini disedari sendiri oleh pihak hotel namun apa yang saya dapati ada di antara hotel-hotel itu yang langsung tidak menggambarkan suasana berpesta dan ceria,'' katanya.

Menurutnya, Malaysia telah mencatatkan rekod kedatangan pelancong pada tahun lepas iaitu sebanyak 10.2 juta orang, namun semua pihak tidak seharusnya berpuas hati dengan pencapaian itu.

Ujarnya, semua pihak harus berusaha keras sekurang-kurangnya mengekalkan pencapaian itu kerana industri pelancongan kini semakin mendapat saingan daripada banyak negara di rantau ini.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi