PELANCONGAN

Utusan Malaysia 14 April 2001

Industri pelancongan temui keghairahan baru

Oleh:MARHAINI KAMARUDDIN (WARTAWAN UTUSAN)
TIRAI persidangan jubli emas Persatuan Pengembaraan Asia Pasifik (PATA) yang Malaysia menjadi tuan rumah kali ini, dilabuhkan semalam dalam suasana bermakna dan penuh warna-warni.

Persembahan kanak-kanak dan remaja memainkan alat muzik tradisional, menunjukkan seni silat dan menarikan rentak zapin dengan tangkas dan ceria pada upacara penutup memukau hampir 2,000 perwakilan dari 40 negara yang memenuhi Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Penyertaan golongan muda dalam persembahan penutup persidangan PATA ke-50, bagai menjanjikan kesinambungan masa depan industri pelancongan negara dan rantau Asia Pasifik yang terus gemilang.

Penganjuran acara yang mendapat liputan meluas dan positif seperti PATA merupakan strategi pemasaran paling berkesan bagi industri pelancongan sesebuah negara.

Sepanjang tempoh 50 tahun, persidangan tahunan PATA menjadi medan pertemuan utama bagi pemimpin-pemimpin industri pelancongan di rantau ini.

Limpahan kemakmuran hasil persidangan yang diadakan saban tahun mendorong negara serantau tidak putus-putus menawarkan diri menjadi tuan rumah.

PATA bukan sekadar persatuan pada nama. Ia terbukti berjaya memainkan peranan mempromosikan sektor pelancongan serantau sejak 50 tahun lalu sehingga menjadi industri yang berkembang pesat dan mampu menjana pertumbuhan ekonomi negara anggota dan Asia Pasifik.

Sewaktu PATA ditubuhkan pada 1951, kurang daripada 250,000 orang melancong ke rantau Asia Pasifik setiap tahun. Dalam tempoh sedekad lalu, pengembaraan antarabangsa ke rantau ini telah melonjak daripada 25 juta kepada lebih 90 juta pelawat setiap tahun.

Menerusi pengalaman separuh abad PATA, misinya untuk mempertingkat pertumbuhan, nilai dan kualiti pelancongan dan pengembaraan Asia Pasifik telah memberi manfaat kepada negara anggota biarpun berlaku beberapa perubahan kepada industri itu.

Rangkaian PATA di seluruh dunia meliputi anggota kerajaan, syarikat penerbangan dan perkapalan, hotel, operator pelancongan, agensi pengembaraan, universiti, institusi kewangan dan pelbagai syarikat lain yang berkaitan.

Negara anggota menggunakan PATA untuk membantu mereka meneroka pasaran baru, menjimat masa dan wang dengan berkongsi sumber dan idea serta membina hubungan perniagaan jangka panjang yang menguntungkan.

Mengimbau masa lampau persatuan ini cukup membanggakan, tidak hairanlah Pengerusi PATA 2001/2002, John Sandford, meletakkan wawasan masa depan yang lebih cemerlang sebagai agenda kepimpinannya.

Untuk itu, beliau meletakkan harapan kepada generasi baru dalam industri tersebut untuk meneruskan kesinambungan kecemerlangan yang telah dicatatkan oleh PATA.

Sejajar dengan tema sambutan jubli emas persatuan itu tahun ini Proud Past-Promising Future anggota PATA mahu terus berganding bahu memasarkan wajah Asia untuk menarik pelancong dan sekali gus menyemarakkan industri pengembaraan dan pelancongan serantau.

Benua yang terkenal dengan keindahan alam semula jadi dan keramahan penduduknya ini dijangka akan terus menjadi destinasi kegemaran pelancong dan pelabur kerana pelbagai potensi yang ditawarkannya.

Kepelbagaian cita rasa hidangan dan masakan Asia Pasifik memang diakui antara tarikan utama, dan kini rantau ini menemui keghairahan baru untuk diketengahkan iaitu pelancongan berasaskan alam semula jadi atau ekopelancongan.

Menyedari alam semula jadi merupakan aset negara rantau yang menjadi tarikan pelancong, PATA mengambil inisiatif memperkenalkan Kod Pengendalian Alam Sekitar bagi menjamin industri pelancongan yang mapan.

Bagi Malaysia, komitmen untuk menggalak dan memesatkan pertumbuhan ekopelancongan telah dinyatakan sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad beberapa kali termasuk semasa berucap merasmikan persidangan PATA Isnin lalu.

Pembabitan secara aktif dalam persatuan serantau PATA termasuk menjadi tuan rumah sebanyak tiga kali (1972, 1986 dan 2001), merupakan peluang keemasan memasarkan produk negara.

Ketibaan sebanyak 10.22 juta pelawat asing ke negara ini tahun lalu mencatat rekod tersendiri apabila ia mengatasi jumlah 9.58 juta pelancong ke Thailand, iaitu destinasi pelancongan Asia yang lebih awal dikenali oleh masyarakat dunia.

Industri pelancongan kini menjadi penyumbang pendapatan tukaran asing kedua penting kepada Malaysia, selepas sektor perkilangan.

Kemampuan negara menganjurkan acara berkelas dunia seperti Sukan Komanwel Ke-16 dan perlumbaan Formula One (F1) pula diakui dan penganjuran persidangan jubli emas PATA melengkapkan rekod baik Malaysia.

Berdasarkan kecemerlangan daya urus itu tidak hairanlah Malaysia merancang untuk mempergiatkan sektor persidangan dan pameran mesyuarat antarabangsa (MICE) sebagai fokus kempen pelancongan negara pada 2002.

Kesempatan menjadi tuan rumah pada persidangan kali ini jelas memberi manfaat kepada Malaysia apabila beberapa syarikat penerbangan nasional menyatakan hasrat untuk menambah mahupun memulakan penerbangan terus ke Kuala Lumpur.

Kesediaan Qatar memasukkan Kuala Lumpur dalam jadual persinggahan pesawatnya dan India menambah hak pendaratan pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) yang disuarakan mereka pada PATA kali ini, memberi makna besar kepada sektor pelancongan negara.

Kerajaan khususnya Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan telah melakukan yang terbaik untuk mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang tersenarai dalam peta dunia.

Dalam jadual pascapersidangan PATA ke-50, 16 lawatan percuma ke destinasi pelancongan seluruh negara termasuk ke Sabah dan Sarawak diatur untuk para perwakilan asing dan media menikmati sendiri keindahan Malaysia.

Bagaimanapun seperti yang ditekankan oleh menterinya, Datuk Abdul Kadir Sheikh Fadzir, tahap pertumbuhan pelancongan negeri masing-masing terserah kepada kerajaan negeri sendiri.

Kerajaan telah membuka laluan bagi pelancong asing datang ke negara ini dan terpulang kepada setiap kerajaan negeri untuk menyuluh jalan menunjukkan arah bagi memesatkan pertumbuhan industri pelancongan dan pengembaraan di negeri masing-masing.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi