PELANCONGAN

Utusan Malaysia 15 April 2001

Melaka sediakan pelan induk pelancongan

MELAKA 14 April - Satu pelan induk pelancongan negeri Melaka akan disediakan bagi mengawal projek pembangunan yang akan dilaksanakan di sekitar kawasan pelancongan di negeri ini.

Pelan itu juga bertujuan membolehkan kerajaan negeri mengenal pasti jenis produk pelancongan di sesebuah kawasan supaya ia tidak dicampur aduk dengan produk-produk pelancongan yang lain.

Ketua Menteri, Datuk Wira Mohd. Ali Rustam berkata, pelan induk itu perlu bagi meyakinkan pelabur asing yang berminat menceburi bidang pelancongan di negeri ini.

``Banyak pelabur asing yang bertanyakan tentang pelan induk ini kerana mereka mahu melihat visi pelancongan kerajaan negeri dalam jangka masa panjang,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Kolej Islam Melaka (KIM) dengan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YPEIM) di sini hari ini.

MoU itu ditandatangani oleh Rektor KIM, Prof. Datuk Dr. Mohd. Yusoff Hashim bagi mewakili KIM manakala YPEIM diwakili oleh Pengurus Akademi Pengurusan YPEIM, Sayed Munawwar Al-Jamalullail.

Turut hadir ialah Ketua Pengarah YPEIM, Abdul Malek Awang Kechil.

Memorandum tersebut diadakan bagi mengadakan usaha sama antara KIM dan YPEIM dalam memajukan industri perhotelan dengan mengadakan program persijilan kemahiran perhotelan di kolej tersebut.

Ketua Menteri berkata, langkah ini sejajar dengan hasrat kerajaan negeri untuk menambah produk pelancongan seperti mewujudkan Perkampungan Hang Tuah di Duyong dan Ladang Tropika di Alor Gajah.

``Dengan adanya pelan induk pelancongan ini, sebarang projek pembangunan di kawasan terbabit akan dikawal supaya mematuhi garis panduan yang ditetapkan,'' katanya.

Menurutnya, buat permulaan, satu perbincangan awal akan diadakan pada Mei ini bagi merangka pelan induk dalam sektor berkenaan.

``Ini akan diikuti dengan perbincangan lanjut mengenai penyediaan pelan itu semasa Konvensyen Melaka Negeri Maju kali kedua yang akan dianjurkan pada Jun ini,'' katanya.

Menurutnya, semua pihak yang berkaitan dalam sektor pelancongan sama ada pihak kerajaan atau swasta akan diundang menyertai konvensyen itu bagi memberi input terhadap pelan tersebut.

``Kita juga akan menjemput pakar-pakar pelancongan termasuk pensyarah universiti yang mungkin ada menyimpan tesis atau kajian penuntut berkaitan pelancongan di negeri ini supaya cadangan mereka ini turut dibincangkan,'' ujarnya.

Apabila siap kelak, katanya, pelan induk ini akan diguna pakai oleh semua jabatan dan agensi kerajaan negeri sebagai panduan semasa melaksanakan sesuatu projek pembangunan.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi