PELANCONGAN

Berita Harian 11 April 2001

Syarikat pelancong perlu sedia pendidikan Aids


KUALA LUMPUR, Selasa – Syarikat yang terbabit dalam sektor pelancongan perlu menyediakan dasar dan program pendidikan serta latihan untuk meningkatkan kesedaran mengenai penyakit Aids dan HIV di tempat kerja masing-masing.

Pengerusi Pakatan Perniagaan dan Aids Thailand, Bill Black, berkata kebanyakan mereka yang terbabit dalam industri pelancongan masih belum prihatin dengan penyediaan program pendidikan dan latihan mengenai Aids/HIV.

Beliau berkata, program pendidikan dan latihan dalam industri pelancongan penting kerana sektor itu turut membabitkan perniagaan seks.

“Walaupun kebanyakan negara tidak mengiktiraf perniagaan seks (pelacuran), ia tetap wujud dan berkait rapat dengan industri pelancongan. Justeru, program kesedaran mengenainya perlu diperluaskan,” katanya membentangkan kertas kerja Mengenai Pelancongan, Seks dan Aids pada Persidangan Pelancongan Asia Pasifik (Pata) ke-50 di Pusat Dagangan Dunia Putra, hari ini.

Bill berkata, program pendidikan dan latihan itu bukan saja menyedarkan orang ramai mengenai bahaya Aids, tetapi mendidik masyarakat supaya membantu golongan berkenaan.

Katanya, hasil kajian mendapati jumlah mereka yang menghidap Aids/HIV di sektor pelancongan semakin meningkat.

Sehubungan itu, katanya, adalah perlu syarikat yang terbabit dalam pelancongan menyediakan dasar dan program pendidikan serta latihan.

Beliau berkata, program berkenaan bukan saja dapat membantu meringankan beban penghidap Aids/HIV, malah dapat mewujudkan suasana persekitaran kerja yang harmoni.

“Melalui program itu, semua kakitangan pelbagai peringkat boleh menerima dan bekerja dengan mereka yang mengidap Aids/HIV. Malah, semua kakitangan faham dan sedar mengenai punca dan kesan penyakit itu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Pakatan Perniagaan dan Aids Thailand, Anthony Pramualratana, berkata persatuan yang berkait rapat dengan industri pelancongan juga perlu menyediakan program khas bagi meningkatkan kesedaran mengenai Aids.

Katanya, sebagai contoh, Pata boleh memasukkan isu mengenai Aids/HIV dalam agenda Jawatankuasa Penasihat dan Pemegang Amanah Pelancongannya.

Selain itu, katanya, persatuan kebangsaan perdagangan boleh menyediakan program untuk mewujudkan rangkaian komunikasi antara syarikat perdagangan di rantau ini bagi bertukar fikiran dan idea mengenai dasar dan program Aids/HIV.

Setakat ini, katanya, Kumpulan Syarikat Jardine di Thailand menyediakan polisi yang membolehkan penghidap Aids terus bekerja bersama-sama kakitangan yang lain.

“Antara ditekankan dasar itu, termasuk tidak wujud diskriminasi terhadap pengidap Aids/HIV, pendidikan dan latihan kesihatan, maklumat yang tepat dan betul mengenai Aids/HIV, dan keyakinan pekerja bertugas dengan pengidap Aids/HIV,” katanya.

Wakil Program Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Aids (Unaids), Steven Kraus pula berkata pengidap Aids/HIV bertambah setiap tahun dan tahun lalu kira-kira 25.3 juta pengidap Aids/HIV di benua Afrika; 5.8 juta di negara Asia Selatan; 700,000 (Eropah) dan 640,000 orang di Asia Timur.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi