PELANCONGAN

Berita Harian 10 April 2001

Pelancong Malaysia ke Thailand dinasihat waspada


HATYAI (Selatan Thailand), Selasa – Pejabat Konsul Besar Malaysia di Songkhla tidak dapat membuat kenyataan tepat mengenai keadaan keselamatan di Selatan Thailand, selepas kejadian letupan bom mengorbankan budak berusia lima tahun dan mencederakan 38 orang di stesen kereta api di sini, Sabtu lalu.

Bagaimanapun, pelancong dan ahli perniagaan Malaysia yang berhasrat untuk datang ke sini dinasihat supaya mengambil langkah lebih berhati-hati.

Timbalan Konsul Besar Malaysia di Songkhla, Matstapa Mat Zom, ketika ditemui di pejabatnya semalam berkata, hingga sekarang pihaknya belum lagi menerima sebarang laporan rasmi daripada pihak berkuasa Thailand mengenai kejadian berkenaan.

“Apa yang kami pasti setakat ini tiada rakyat Malaysia terbabit atau tercedera dalam kejadian di stesen kereta api itu,” katanya sambil memberitahu pihaknya masih mengumpulkan maklumat mengenai kejadian dan keadaan keselamatan di sini.

“Apa yang boleh saya katakan setakat ini ialah tidak ada sebarang bahaya besar bagi pelancong dan ahli perniagaan Malaysia yang berhasrat untuk datang ke sini.

“Cuma mereka perlu mengambil langkah lebih berhati-hati ketika berkunjung ke Selatan Thailand,” katanya.

Mengenai dakwaan pihak berkuasa Thailand yang mengaitkan kejadian itu dengan ancaman daripada pemisah Islam Thailand, Matstapa berkata, perkara berkenaan masih belum boleh dibuktikan.

“Apa yang kita faham, pertubuhan pemisah yang dikatakan itu sudah lama tidak aktif,” katanya.

Sementara itu, letupan bom Sabtu lalu adalah kejadian kelima berlaku di sini.

Kali terakhir letupan bom di stesen itu ialah pada Ogos 1992, tetapi tidak membabitkan kematian, walaupun ramai cedera.

Tempat itu dijadikan sasaran kerana menjadi tumpuan ramai.

Tinjauan Berita Harian semalam mendapati, kerja membaik pulih stesen yang rosak teruk, terutama terminal menunggu, rancak dijalankan sambil beratus penumpang menunggu mendapat perkhidmatan pengangkutan itu.

Beberapa anggota keselamatan Thailand yang lengkap bersenjata mengawal stesen dan orang ramai tidak dibenarkan memasuki kawasan letupan yang dipagari dengan jalur keselamatan.

Ketua Stesen Kereta Api Hat Yai, Sari Bunrungkau, 52, berkata walaupun keadaan agak tegang ketika letupan bom berlaku tiga hari lalu, ia tidak seburuk yang dilaporkan media Thailand.

“Memang berlaku kekecohan pada hari itu, tetapi dapat dikawal oleh pihak keselamatan Thailand.

“Malah, kami tidak pun menangguhkan perjalanan kereta api pada hari berkenaan,” kata ketika ditemui di stesen itu yang terletak tidak sampai 10 meter di mana bom itu diletakkan.

Beliau berkata, empat pekerja stesen, termasuk Timbalannya, Chat Laukongpet, 40, cedera dalam kejadian berkenaan.

Chat cedera pada kepala dan tangan, bagaimanapun semalam sudah pulih dan mampu mengendali perkhidmatan penumpang.

Sari bagaimanapun lega kerana kejadian letupan, Sabtu lalu hanya membabitkan satu kematian, walaupun pada masa itu orang ramai berasak-asak menunggu kereta api untuk pulang ke kampung bagi meraikan Pesta Songkran (pesta keramaian di Thailand) bermula pada 13 April ini.

Mengikut laporan, kejadian di stesen itu adalah antara siri letupan di Selatan Thailand pada Sabtu lalu dan hingga sekarang masih mendapat liputan muka depan media cetak Thailand.

Seorang pengusaha restoran Muslim yang terletak kira-kira 400 meter dari stesen dikenali sebagai Saad berkata, keadaan kembali biasa sehari selepas kejadian berlaku.

“Kami dapat merasakan gegaran dan bunyi letupan yang kuat pada hari itu yang mana berpuluh anggota polis di bandar ini berkejar ke tempat kejadian bagi membantu dan mengawal keadaan,” katanya.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi