PELANCONGAN

Berita Harian 14 April 2001

Pengusaha hotel perlu tingkat perkhidmatan

Oleh Noorwati Salleh

KUANTAN, Jumaat – Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan, Datuk Abdul Kadir Sheikh Fadzir, kecewa dengan sikap pihak swasta terutama pengusaha hotel di seluruh negara kerana menyediakan mutu perkhidmatan yang tidak memuaskan kepada pelancong.

Katanya, mereka turut didapati lembap menjalankan tanggungjawab membantu memajukan sektor pelancongan di negara ini.

Beliau berkata, sikap sedemikian boleh mengakibatkan industri pelancongan negara merosot dan ketinggalan berbanding negara lain.

“Pada masa ini, kita lihat banyak negara, termasuk India dan China sedang berusaha gigih meningkatkan sektor pelancongan masing-masing melalui promosi besar-besaran.

“India dan China umpamanya sudah tentu mudah mengatasi kita kerana masing-masing mempunyai identiti sendiri seperti Taj Mahal dan Tembok Besar.

“Semua ini boleh menggugatkan negara kita jika kita tidak merancang sesuatu bagi mewujudkan imej sendiri iaitu berfestival, berkarnival dan ceria sepanjang masa,” katanya selepas majlis dialog dengan pengurus hotel dan agensi pelancongan di sini, hari ini.

Abdul Kadir berkata, kementeriannya sudah melakukan pelbagai usaha bagi menarik pelancong tetapi pembabitan pihak swasta ke arah itu masih kurang.

“Kita perlu terus mengekalkan kemasukan 10.2 juta pelancong ke negara ini, seperti tahun lalu atau meningkatkan lagi jumlah itu pada tahun akan datang.

“Segala kekurangan perlu dibaiki terutama dari segi mutu perkhidmatan supaya pelancong akan mengunjung Malaysia berulang kali,” katanya.

Mengenai Pesta Air Nasional 2001 di sini, Abdul Kadir berkata, beliau masih tidak berpuas hati dengan persiapan pihak swasta, terutama hotel dan pusat beli belah, menjelang majlis perasmiannya oleh Yang di-Pertuan Agong, malam esok.

“Dalam tinjauan saya sekitar bandar Kuantan malam tadi, banyak hotel didapati tidak mencantik dan mencahayakan bangunan masing-masing.

“Kerajaan sudah membuat segala-galanya untuk memastikan kejayaan pesta air itu, termasuk membawa masuk kira-kira 400 media antarabangsa supaya dapat mempromosikan negara ini, khususnya Kuantan ke seluruh dunia.

“Namun, sehingga kini, pihak swasta kurang memberi kerjasama, termasuk tidak mengindahkan premis masing-masing,” katanya.

Oleh itu, beliau berharap pemilik bangunan perniagaan, pusat beli belah, bangunan pejabat diindahkan dengan lampu bagi menceriakan suasana bandar ini pada waktu malam.

“Kedatangan lebih 400 media antarabangsa adalah satu kelebihan untuk memastikan negara kita terus menjadi tumpuan pelancong dan ini akan memberi manfaat kepada semua pihak yang terbabit dalam industri pelancongan,” katanya.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi