PELANCONGAN

Berita Harian 14 April 2001

Sidang Pata ubah tanggapan dunia terhadap Malaysia

Oleh Rohaniza Idris dan Mohd Hamizar Hamid.

PERSIDANGAN Persatuan Pelancongan Asia Pasifik ke-50 (Pata 2001) yang berakhir, Rabu lalu, dianggap sebagai yang terbaik pernah dianjurkan sepanjang 50 tahun persidangan itu diadakan.

Pelbagai pihak memuji Malaysia selaku tuan rumah kerana mampu memberikan kemudahan terbaik kepada semua 1,325 perwakilan yang mewakili 55 negara sempena sambutan jubli emas persatuan itu.

Malaysia pernah menjadi tuan rumah persidangan Pata pada 1972 dan 1986. Bagaimanapun, peluang menjadi tuan rumah pada sambutan jubli emas, adalah perkara yang paling membanggakan.

Hari terakhir persidangan lima hari bermula 8 April lalu, menyaksikan Malaysia menerima pelbagai pujian daripada delegasi, penceramah dan orang ramai yang menjayakan persidangan kali ini.

Peserta memuji Malaysia kerana mampu menganjurkan persidangan besar serta menyediakan pelbagai kemudahan dan program menarik sepanjang persidangan itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Pata, Joseph A McInerney kagum dengan kesungguhan dan kejayaan menganjurkan persidangan itu dan berpuas hati dengan prestasi Malaysia menjayakannya.

Beliau turut berterima kasih kepada Kerajaan Malaysia, terutama Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan; Kementerian Pengangkutan; Polis Diraja Malaysia; Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), hotel dan pihak swasta yang terbabit menganjurkan persidangan itu.

“Ini adalah persidangan terbaik sejak 50 tahun persidangan diadakan. Ia adalah hasil kerjasama dan kesungguhan Malaysia menjayakan persidangan ini.

“Pata berharap India selaku tuan rumah bagi persidangan 2002 dapat mencontohi Malaysia,” katanya.

Selain pujian, Pata 2001 mengetengahkan beberapa isu penting untuk pembangunan industri pelancongan di rantau Asia Pasifik.

Potensi dan cabaran industri pelancongan turut dibincangkan, termasuk isu teknologi, seks dan perniagaan baru.

Sebanyak lima resolusi berjaya dicapai melalui persidangan kali ini, iaitu menyentuh budaya dan alam sekitar.

Antara resolusi itu adalah:

l Mengekalkan kehijauan dan prasarana semula jadi serta tidak menyentuh isu sosial dan budaya seperti yang tertakluk dalam artikel IV, Piagam Pata,

l Setiap ahli perlu menerima dan bertanggungjawab mempromosikan kepada ahli mengenai kod alam sekitar serta menjalankan kegiatan pelancongan mengikut kod ditetapkan,

l Ahli Pata juga perlu meletakkan komitmen untuk menyokong perkara yang berkaitan dengan skim Bumi Hijau iaitu pengekalan alam sekitar dan tidak melanggar sebarang etika yang bercanggah dengannya,

l Ahli Pata juga perlu bekerjasama dengan pertubuhan berkaitan seperti Kumpulan Pelancongan APEC, Pertubuhan Pelancongan Dunia serta Majlis Pelancongan dan Pengembaraan Dunia serta Tabung Alam Sedunia dalam usaha mengekalkan alam sekitar dan budaya bagi pelancongan di Asia Pasifik, dan

l Ahli perlu mengadakan mesyuarat bersiri dan bengkel untuk meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan mengekalkan kehijauan dan budaya tradisi dalam program pelancongan masing-masing.

Secara keseluruhan, Pata kali ini mahu alam sekitar dan budaya dijadikan asas dalam semua pembangunan industri pelancongan.

Sesuai dengan tema persidangan kali ini ‘Kegemilangan Silam, Janji Masa Depan’, Pata meletakkan sasaran untuk menjadikan alam sekitar dan budaya sebagai perjuangan baru persatuan itu untuk 50 tahun akan datang.

Resolusi yang dicapai oleh Pata kali ini, mungkin mengambil kira kemusnahan alam sekitar oleh negara maju serta tarikan baru pelancongan alam sekitar dan eco-tourism yang diamalkan oleh kebanyakan negara di Asia.

Kesedaran Pata mengenai alam sekitar itu mengambil kira faktor kecenderungan industri pelancongan dewasa ini, yang mengutamakan pelancongan yang mengekalkan kehijauan serta budaya masyarakat setempat.

Bagi Malaysia, selain pujian yang diterima, persidangan Pata kali ini dijadikan landasan untuk mengubah persepsi masyarakat dunia mengenai keadaan di dalam negara.

Melalui persidangan ini, Malaysia dapat memberikan gambaran sebenar yang berlaku dalam negara dan menangkis laporan negatif media asing.

Laporan negatif mengenai Malaysia tentunya merugikan kerana pelancong tidak memilih berkunjung ke negara ini sebagai destinasi percutian mereka atau mungkin terpengaruh dengan laporan buruk mengenai negara ini dan menyifatkan Malaysia tidak selamat untuk dilawati.

Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad ketika melancarkan Persidangan Pata berkata, aspek keselamatan dan liputan media paling penting dalam membantu mempromosikan sektor pelancongan.

“Ketenteraman dan keselamatan sesebuah negara adalah amat penting. Tanpa keamanan pelancong asing akan sukar melawat negara berkenaan,” katanya.

Pendapat Perdana Menteri itu turut di sokong oleh Joseph dan beliau berpendapat, liputan media penting bagi membantu mempromosikan sektor pelancongan. Ini kerana tanpa maklumat tepat dan adil, pelancong asing tidak akan mengetahui kemudahan dan tempat untuk dilawati .

Beliau berkata, sektor pelancongan, khususnya di rantau Asia Pasifik mempunyai potensi dan masa depan yang cerah.

Justeru, katanya, apa yang perlu dilakukan negara terbabit ialah memastikan keadaan keselamatan dan keharmonian sesebuah negara dikekalkan dalam negara di samping liputan media yang tepat.

“Sesetengah negara berkemungkinan menghadapi masalah dalaman. Bagaimanapun, keadaan itu tidak membabitkan seluruh negara terbabit, malah ia tidak akan memberi kesan kepada industri pelancongan kerana tidak ada kena mengena dengan lokasi berkenaan,” katanya.

Selain itu, persidangan kali ini dapat digunakan oleh Malaysia untuk memperkenalkan produk dan perkhidmatan pelancongan serta menjalinkan hubungan kerjasama dengan kerajaan dan syarikat swasta dari seluruh dunia.

Pada persidangan kali ini, Malaysia mencapai kata sepakat untuk menambahkan penerbangan ke beberapa destinasi.

Antaranya, Malaysia menambahkan sembilan penerbangan ke empat destinasi di India, manakala Qatar mula menunjukkan minat untuk menjadikan Kuala Lumpur destinasi baru penerbangan pesawat nasionalnya.

India dan Filipina pula menggunakan peluang persidangan ini untuk berbincang dengan Malaysia mengenai hubungan dagangan industri pelancongan di kedua-dua negara.

Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan, Datuk Abdul Kadir Sheikh Fadzir, berkata Menteri Pelancongan India dan Filipina yang menghadiri persidangan Pata bertemu beliau untuk membincangkan hubungan dua hala dalam industri pelancongan.

Kedua-dua negara, katanya, bersetuju untuk menjalinkan hubungan dagangan dalam industri pelancongan seperti yang sudah dilaksanakan dengan Singapura, Thailand dan Indonesia.

“Kesudian mereka menjemput kita menjadi rakan kerjasama kerana yakin dengan kemampuan dan kesungguhan kita membangunkan industri pelancongan,” katanya.

Namun, kejayaan yang dicapai oleh Malaysia masih belum mencukupi jika pihak yang terbabit dalam industri masih tidak membuat sebarang perubahan.

Industri pelancongan perlu menekankan mutu perkhidmatan jika ingin terus beroperasi. Ini kerana, mutu perkhidmatan adalah antara kayu pengukur yang dapat memastikan pelancong datang berulang kali ke negara ini. Perkhidmatan ini tidak terhad kepada hotel dan restoran saja, malah membabitkan kemudahan pengangkutan termasuk lapangan terbang, teksi dan bas. Kemudahan perkhidmatan tukaran wang asing dan komunikasi juga perlu diberi perhatian atau matlamat negara untuk menarik 10 juta pelancong tahun ini tidak akan tercapai.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi