PELANCONGAN

Berita Harian 16 April 2001

‘Hidupkan semula pelbagai pesta air’

Oleh Noorwati Salleh

KUANTAN, Ahad – Rakyat diminta menghidupkan semula pelbagai pesta, termasuk di tepi pantai, sungai dan tasik bagi menyemarakkan lagi pelancongan domestik selain menarik kemasukan pelancong asing.

Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan, Datuk Abdul Kadir Sheikh Fadzir, berkata usaha itu sudah tentu boleh dilakukan kerana negara mempunyai banyak pantai, sungai dan tasik, malah ada antaranya sangat cantik.

Bagaimanapun, beliau berkata, pesta berkenaan perlu disesuaikan dengan budaya bangsa dan agama di negara ini.

“Apa yang penting, melalui pesta itu, ia dapat menyedarkan rakyat mengenai kepentingan menjaga khazanah semulajadi, terutama dari segi kebersihan dan mengekalkan keasliannya.

“Adalah mustahak kita menghargai sumbangan air serta memelihara sumbernya supaya tidak dicemari. Sebagai semua negara maritim, Malaysia amat bergantung kepada sumber air,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Bulan Pesta Air Nasional 2001 oleh Yang Dipertuan Agong, Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di Taman Esplanade di sini, malam tadi.

Turut hadir Raja Permaisuri Agong, Tuanku Siti Aishah; Tengku Mahkota Pahang; Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob; dan isteri, Datin Junaini Kassim; Menteri Penerangan, Tan Sri Mohd Khalil Yaakob.

Dengan mengadakan pelbagai pesta, kata Abdul Kadir, kerajaan berharap dapat memperkenal dan memupuk imej Malaysia sebagai negara berfestival, berkanival dan ceria sepanjang masa.

Menurutnya, ia juga bertujuan menonjolkan keunikan seni dan budaya bangsa masyarakat pelbagai kaum di negara ini di kalangan pelancong asing.

Sementara itu, Adnan Yaakob dalam ucapannya, berkata Pahang adalah satu-satunya negeri bertuah kerana dianugerahkan kekayaan alam semulajadi.

“Negeri ini memiliki pantai dan tasik semula jadi yang penuh misteri serta kehijauan hutan belantara berusia 130 tahun, selain bukit peranginan yang dingin dan nyaman,” katanya.

Beliau berkata, semua destinasi pelancongan itu menjadi tumpuan pelancong dan kedatangan mereka meningkat setiap tahun.

“Menyedari keadaan itu, kita mengambil beberapa langkah bagi membangunkan destinasi terbabit serta mengenal pasti produk lain untuk destinasi pilihan,” katanya.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi