Become an art dealer

PELANCONGAN

Utusan Malaysia 06 Mei 2001

Perkhidmatan hotel tidak berkonsepkan Malaysia dikesali

LUMUT 5 Mei - Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan, Datuk Abdul Kadir Sheikh Fadzir hari ini melahirkan rasa tidak puas hati dengan sikap pengurusan hotel negara ini kerana masih gagal menyediakan perkhidmatan beridentitikan Malaysia dan Asia.

Kata beliau, identiti itu penting diketengahkan memandangkan ia adalah faktor yang dapat menarik lebih ramai pelancong dan membezakan konsep pelancongan negara ini berbanding negara lain.

Beliau berkata, memandangkan semua negara di seluruh dunia kini menumpukan perhatian untuk meningkatkan industri pelancongan masing-masing, hotel-hotel di Malaysia perlu mengetengahkan identiti lebih unik terutama berlatarbelakangkan masyarakat berbilang kaum di negara ini.

``Saya masih tidak berpuas hati. Kita perlu banyak memperbaiki dan meningkatkan (mutu perkhidmatan hotel). Jika tidak, kita akan kalah dengan negara yang menjadi saingan dengan kita. Kita (kementerian) dah berleter sepanjang masa dah (kepada hotel mengenai mutu perkhidmatan). Ini memang merupakan kebimbangan kita. Sebab itu tahun ini, kita banyak menumpukan perhatian kepada perkara ini,'' ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pembangunan Pelancongan Kebangsaan 2/2001 di sini, hari ini.

Turut hadir sama pada mesyuarat itu ialah Exco-Exco Pelancongan dan pegawai Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) dari seluruh negeri.

Sehubungan itu, katanya, persatuan hotel di negara ini diminta memainkan peranan tanpa perlu menunggu desakan dan teguran daripada kerajaan.

``Dulu dia (hotel-hotel) merungut, pelancong tak datang, kerajaan tak buat apa dan sebagainya. Sekarang kerajaan bersungguh-sungguh dan benda yang kecil sedikit yang dia kena buat, dia tak nak buat,'' tegasnya.

Beliau juga menyarankan agar semua hotel mewujudkan badan kebudayaan dan kesenian sendiri supaya dapat mengetengahkan identiti Malaysia yang sebenar.

Mengenai usaha mempertingkatkan produk pelancongan, Abdul Kadir berkata, kerajaan menerusi Rancangan Malaysia Kelapan (RMK-8) telah memperakukan kepada UPEN sejumlah 230 projek melibatkan peruntukan sebanyak RM1.2 bilion.

Katanya, peruntukan itu bertujuan mempercepatkan pelaksanaan projek dan membangunkan produk baru pelancongan sebelum akhir tahun ini.

Sementara itu katanya, sebanyak 3.6 juta pelancong telah datang ke negara ini dalam tempoh suku tahun pertama tahun ini.

Jumlah itu katanya, meningkat 56.8 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum