Become an art dealer

PELANCONGAN

Utusan Malaysia 06 Jun 2001

Malaysia tumpuan pelancong Arab dalam masa terdekat

KUALA LUMPUR 5 Jun - Jangan terkejut jika Bintang Walk, Sunway Lagoon, Genting Highlands, atau KLCC dibanjiri orang Arab dalam beberapa minggu akan datang.

Ya, pada ketika inilah orang Arab akan menghabiskan cuti musim panas mereka di kawasan-kawasan yang lebih sejuk, dan Malaysia nampaknya menjadi destinasi yang semakin popular bagi tetamu-tetamu dari Timur Tengah ini.

``Mereka gemar datang ke sini dan sebabnya mudah sahaja. Melancong ke sini murah, 50 peratus lebih murah berbanding percutian mereka di negara-negara Eropah.

``Mereka gemarkan makanan di sini dan rakyat Malaysia pula mesra belaka. Mereka sukakan prasarana kita seperti lapangan terbang dan menara berkembar (Petronas).

``Tambahan pula budaya mereka serupa dengan budaya kita,'' kata pengurus besar Dorsett Regency Hotel (M) Sdn. Bhd., Hadi Yusuf.

Tetapi, potensi pelancongan sememangnya besar di sini, dan banyak lagi yang boleh dilakukan untuk menarik pelancong-pelancong Timur Tengah, kata beliau.

``Rancangan pelancongan negara ini patut memanfaatkan kebanjiran mereka secara tiba-tiba ini, dan beberapa strategi tertentu harus dilaksanakan untuk menarik mereka ke mari,'' kata beliau pada satu taklimat media mengenai cara-cara memanfaatkan pasaran Timur Tengah di sini, hari ini.

Beliau menyarankan, satu cara yang boleh dilakukan ialah melalui tindakan Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) menyediakan penerbangan tambahan ke Jeddah untuk mengambil peluang daripada kebanjiran pelancong-pelancong Arab semasa cuti musim panas mereka.

Penerbangan-penerbangan ini boleh ditambah kepada lima kali seminggu daripada tiga kali sekarang, tegasnya.

Beliau menambah kata bahawa jika kekerapan penerbangan ini kurang, syarikat-syarikat penerbangan lain seperti Garuda Indonesia dan Singapore Airlines (SIA) akan mendapat faedah kerana pelancong-pelancong ini perlu singgah di negara-negara ini untuk datang ke Malaysia, kata Hadi.

``Pelancong-pelancong Arab ini terpaksa menaiki penerbangan melalui SIA, Garuda atau Gulf Air untuk datang ke sini. Kalau boleh, saya mahu MAS menyewa pesawat-pesawat seperti yang mereka lakukan semasa musim Haji. Ini menguntungkan bagi MAS,'' tambah beliau.

Menurut beliau, pada cuti musim panas di Timur Tengah tahun lalu, kebanyakan hotel di Malaysia ditempah sehingga 70 peratus, dan tahun ini kadar penyewaan dijangka melebihi 100 peratus.

Tahun lalu, 8,000 pelancong Arab tiba di negara ini (berdasarkan satu bilik semalam) dan ini dijangka meningkat kepada 15,000 hingga 20,000 orang.

Pelancong-pelancong Arab menyumbang hasil yang tinggi bagi industri ini, kata Hadi sambil menambah bahawa mereka juga membayar secara tunai dan biasanya tinggal lebih lama di hotel. - Bernama

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum