Become an art dealer

PELANCONGAN

Utusan Malaysia 12 Jun 2001

Koperasi boleh bantu promosi pelancongan domestik

KUALA LUMPUR 11 Jun - Syarikat-syarikat koperasi di negara ini boleh membantu mempromosi sektor pelancongan domestik dengan menawarkan pakej pelancongan kepada ahli-ahli mereka.

Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan, Datuk Abdul Kadir Sheikh Fadzir berkata, kementeriannya telah menubuhkan Biro Pelancongan Malaysia (MTB) yang menyediakan pakej-pakej murah di seluruh negara dan sesuai ditawarkan kepada syarikat koperasi.

``MTB telah menyediakan pakej yang berpatutan dan ia boleh dimanfaatkan oleh 2,547 syarikat koperasi yang bergabung di bawah Angkasa (Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad) untuk ahli mereka,'' katanya.

Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas merasmikan seminar kerjasama antara koperasi dalam bidang pelancongan di Kelana Jaya, dekat sini, hari ini.

Seminar tiga hari itu dihadiri oleh 70 peserta daripada koperasi-koperasi tempatan dan beberapa negara di rantau Asia Pasifik.

Ia diadakan bertujuan meningkatkan kerjasama pihak koperasi dalam bidang pelancongan.

Turut hadir ialah Yang Dipertua Angkasa, Prof. Diraja Ungku Aziz dan Pengarah Gabungan Koperasi-koperasi Antarabangsa bagi Pejabat Rantau Asia dan Pasifik, Romulo M. Villamin.

Menurut Abdul Kadir lagi, syarikat koperasi terbabit pada masa yang sama boleh menawarkan pinjaman kepada ahli mereka untuk digunakan bagi tujuan pelancongan.

Kerajaan, katanya, menganggap percutian kini sebagai satu kemestian bagi rakyat untuk berehat dan meningkatkan kualiti hidup mereka.

``Saya berharap sangat supaya kerjasama antara kementerian dan koperasi dapat dilaksanakan dengan rapi bagi membantu meningkatkan kualiti hidup rakyat melalui kaedah ini,'' katanya.

Abdul Kadir memberitahu, kerajaan juga telah melancarkan program pelancongan pelajar sejak enam bulan lepas yang kini digerakkan di semua negeri.

Beliau berkata, pihaknya yakin pakej pelancongan yang ditawarkan kepada pelajar dengan kerjasama Kementerian Pendidikan akan mendapat sambutan terutama pada musim cuti sekolah.

Pakej itu, kata beliau, bukan sahaja murah tetapi amat berfaedah kerana memberi peluang kepada pelajar melancong sambil belajar.

Sementara itu Ungku Aziz memberitahu, terdapat 31 koperasi di bawah gabungan Angkasa yang menawarkan pakej pelancongan kepada ahli dan orang luar.

Beliau berkata, ia menunjukkan koperasi di negara ini berdaya maju dalam perniagaan sekiranya diuruskan secara betul.

``Kita kini menguruskan pakej kepada semua ahli koperasi bagi satu mesyuarat di Seoul, Oktober ini,'' katanya.

Mengenai koperasi sekolah, Ungku Aziz berkata, pada masa ini terdapat 1,105 koperasi sekolah menengah yang beroperasi dan mempunyai perniagaan sendiri seperti kedai dobi, kedai alat tulis dan sebagainya.

Penubuhan koperasi ini katanya, memberi pendidikan keusahawanan kepada pelajar sejak di peringkat usia muda lagi.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum