KOTA BHARU 29 Julai - Tiga patung Buddha yang dibina dengan bentuk tersendiri termasuk salah satunya yang kedua terbesar di dunia, adalah antara produk pelancongan menarik di negeri ini.
Ketiga-tiganya ialah patung Buddha baring di Wat Phothivihan di Kampung Jambu, Jalan Meranti yang kedua terbesar di dunia selepas Myanmar, Buddha duduk di Kampung Jubakar, Bunohan yang kedua terbesar di Asia Tenggara dan Buddha berdiri di Kampung Terbok, kesemuanya dalam Jajahan Tumpat.
Kesemuanya adalah sebahagian daripada patung-patung yang terdapat di 28 buah tokong Buddha dengan 24 daripadanya terus dikunjungi pelawat.
Utusan diberitahu ramai pelancong asing dan tempatan melawat ke Negeri Cik Siti Wan Kembang yang juga digelar Serambi Mekah semata-mata untuk melihatpatung-patung tersebut terutamanya pada musim cuti.
Penjaga Wat Phothivihan, Than Hua mengakui patung Buddha baring di tokongnya adalah kedua terbesar di dunia selepas patung Buddha di Myanmar.
Patung tersebut yang diberi jolokan sleeping Buddha turut dimasukkan ke dalam risalah pelancongan untuk edaran luar negara oleh Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia.
Katanya, patung Buddha baring itu sepanjang 40.9 meter dan tinggi 10.6 meter dalam kawasan kira-kira 2.4 hektar yang dibina dengan perbelanjaan kira-kira RM2 juta.
``Pembinaan ini dimulakan pada 1973 dan siap dalam tempoh enam tahun melalui sumbangan orang ramai, tidak ada sumbangan kerajaan,'' katanya ketika ditemui di wat itu di sini semalam.
Menurutnya, beliau menjadi penjaga di wat itu sejak lebih 40 tahun lalu.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Wat Machimmaram Kampung Jubakar, Yong Lai Keng ketika ditemui pula berkata, patung Buddha duduk pula mula dibina pada 1991 dan kini 90 peratus siap dengan belanja kira-kira RM3 juta.
Katanya, patung Buddha duduk itu mempunyai ketinggian 30 meter, panjang 46.9 meter dan luas kawasan dalaman 22.12 meter persegi.
``Setahu saya patung ini terbesar di Malaysia, kedua terbesar di Asia dan dibina melalui sumbangan orang ramai,'' katanya.
Menurutnya, perasmian patung Buddha duduk itu dijadual dilakukan pada 9 September depan.
Beliau mengakui ramai pelancong asing datang ke watnya untuk melihat patung berkenaan.
Sementara itu, penjaga Wat Phikul Thong Buddhist, Kampung Terbok, Prak Eak berkata, patung Buddha berdiri di watnya itu dibina 13 tahun lalu dengan belanja kira-kira RM1 juta.
Katanya, patung itu mempunyai ketinggian lebih 11.5 meter dan besar lebih 3.3 meter juga antara terbesar di negara ini.
``Wat Phikul ini sudah wujud sejak 200 tahun dan saya berada di sini sudah 40 tahun,'' ujarnya.
muka depan |
agama |
ekonomi |
fatwa |
jenayah & kemalangan |
kolumnis |
khas |
pelancongan
pendidikan |
pendatang asing |
politik |
rencana |
sains dan teknologi |
umum