Become an art dealer

PELANCONGAN

Utusan Malaysia 30 Julai 2001

Malaysia jadi pusat ekuestrian Asia Tenggara

KUALA LUMPUR 29 Julai - Kerajaan akan menjadikan negara ini sebagai pusat ekuestrian yang lengkap di Asia Tenggara ekoran ramai yang semakin meminati sukan tersebut.

Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad berkata, pada masa yang sama, perlumbaan kuda lasak (Endurance Racing) juga akan diperkenalkan dengan penyediaan trek di bawah talian elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Menurutnya, selain menunjukkan komitmen, rakyat Malaysia juga memiliki potensi tinggi bertaraf dunia dalam kedua-dua sukan tersebut.

``Dalam sukan berkuda (ekuestrian), dunia mengiktiraf Malaysia dengan kehadiran ramai peserta dalam kejohanan-kejohanan di sini. Bagi Endurance Racing pula, saya yakin jika dilatih sejak kecil, mereka berpotensi untuk memenangi perlumbaan peringkat antarabangsa,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan hadiah kepada para pemenang Kejohanan Ekuestrian Antarabangsa TNB 2001 di Selangor Polo & Riding Club di sini hari ini.

Peserta Sukan SEA negara, Qabil Ambak menjuarai kejohanan itu dengan catatan masa 34.08 saat menewaskan 18 peserta lain termasuk dari Eropah.

Hadir sama ialah Pengerusi TNB, Datuk Dr. Jamaluddin Mohd. Jarjis.

Menurut Dr. Mahathir, beliau yakin sukan ekuestrian akan terus diminati di negara ini ekoran penubuhan satu lagi kelab polo yang menyaksikan pertambahan kelab-kelab seumpama itu di negara ini.

``Promosi boleh dibuat lagi sebab masih ada lagi yang belum mengenali Malaysia. Jika dalam satu-satu kejohanan itu ramai pesertanya dari luar negara, saya rasa Malaysia akan makin dikenali,'' katanya.

Dalam pada itu, Dr. Jamaluddin ketika ditemui berkata, TNB sedang berbincang dengan Kelab Ekuestrian Polis untuk mengenal pasti lokasi bagi mewujudkan trek endurance tersebut.

Katanya jarak trek itu akan dibuat sehingga melebihi 100 kilometer mengikut kategori peringkat antarabangsa.

``Kita hendak buat tahun ini. Cadangan tempat bermulanya sedang dikenal pasti tetapi tempat ia berakhir adalah di Putrajaya,'' katanya.

Menurutnya, usaha TNB itu merupakan satu tanggungjawab sosial kepada negara dan rakyat untuk membangunkan sukan baru.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum