Become an art dealer

PELANCONGAN

Utusan Malaysia 30 Julai 2001

Patung Buddha tarikan pelancong ke Kelantan

TUMPAT 29 Julai - Ramai pelancong termasuk dari luar negara mendakwa mereka memilih untuk berkunjung ke Kelantan antaranya kerana tertarik dengan patung-patung Buddha yang bersaiz besar yang terdapat di jajahan ini.

Mereka menyifatkan patung-patung besar itu sebagai satu keistimewaan kerana tidak terdapat di tempat lain.

Selain daripada ingin mengerjakan ibadat, pengunjung juga mengakui tidak mahu melepaskan peluang mengunjungi patung yang dikatakan antara terbesar di dunia dan Asia Tenggara itu.

Patung-patung besar yang sentiasa mendapat kunjungan ramai itu ialah Buddha Baring di Kampung Jambu, Buddha Duduk di Jubakar, Bunohan dan Buddha Berdiri di Kampung Terbok.

Tinjauan mendapati, pelancong-pelancong mengetahui kewujudan patung-patung tersebut melalui rakan-rakan mereka yang pernah berkunjung ke Kelantan dan juga menerusi risalah-risalah pelancongan.

Seorang pelancong dari Kuala Kangsar, Perak, Teh Teck Han, 30, berkata, kunjungannya ke Tokong Buddha Baring di Wat Phothivihan, Kampung Jambu, di sini adalah yang kali kedua selepas tahun 1999 lalu.

``Sebelum ini saya pernah melawat ke sebuah tokong di Pulau Pinang tetapi saiz patungnya kecil sahaja, seorang sepupu memberitahu tokong di Kelantan lebih istimewa sebab patungnya besar-besar,'' katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Lee Hon Weng, 27, dari Ipoh, Perak, yang pertama kali berkunjung ke wat tersebut berkata, dia kagum melihat patung yang besar terdapat di negara ini.

``Selain dapat menarik kedatangan pelancong ke Kelantan ia juga memberi peluang kepada penganut agama Buddha mengerjakan ibadat,'' katanya.

Seorang lagi pengunjung, Wee Wai Chin, 27, berkata, dia dibawa melawat ke wat berkenaan oleh keluarganya ketika masih kecil dan kedatangannya kali ini adalah yang kedua.

``Memang ada banyak perubahan yang ketara di sini seperti pertambahan patung-patung kecil tetapi pada dasarnya ia kelihatan serupa sahaja dengan keadaan lebih 15 tahun lalu,'' katanya.

Sementara itu, pasangan dari Jepun, Toru Akitaya, 44, dan isterinya Naomi, 38, berkata, mereka tidak mahu melepaskan peluang melawat wat-wat besar yang terdapat di Kelantan dalam kunjungan ke negara ini.

Mereka yang akan menghabiskan masa selama sebulan di negara ini berkata, penduduk tempatan seharusnya merasa beruntung kerana tidak perlu ke tempat lain untuk menyaksikan patung Buddha terbesar.

``Walaupun berlainan agama tidak salah rasanya kita melawat tempat-tempat ibadat penganut agama lain dan rasanya orang di sini lebih beruntung kerana tidak perlu berbelanja besar untuk ke negara lain,'' katanya.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum