PELANCONGAN

Berita Harian 10 April 2001

Pandangan negatif percutian perlu diubah


KUALA LUMPUR, Isnin – Industri pelancongan tempatan dan rantau Asia Pasifik perlu mencari kaedah sesuai bagi menukar persepsi orang ramai mengenai percutian jika mereka ingin melihat industri berkenaan terus berkembang dan bersaing dengan negara lain.

Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan, Datuk Abdul Kadir Sheikh Fadzir, berkata rantau Asia Pasifik mempunyai potensi besar iaitu dengan 3.8 bilion pelancong.

Sehubungan itu, katanya, industri pelancongan perlu berusaha mengubah pandangan orang ramai mengenai percutian dan menjadikan ia sebagai budaya.

“Mereka yang terbabit dalam industri pelancongan perlu memastikan masyarakat di rantau ini menjadikan percutian sebagai salah satu kemestian,” katanya berucap sempena Pelancaran Persidangan Persatuan Pelancongan Asia Pasifik (Pata) ke-50 di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini, hari ini.

Pelancarannya disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad. Hadir sama, Presiden Pata, M P Bezbaruah dan Ketua Pegawai Eksekutif Pata, Joseph Mc Inerney.

Abdul Kadir yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tuan Rumah Pata 2001 berkata, mereka yang terbabit dalam industri pelancongan juga perlu bekerjasama jika ingin berjaya.

Katanya, persatuan sedang berusaha meningkatkan pembangunan dalam industri pelancongan membabitkan sektor penerbangan serta kemudahan berkaitan bagi membolehkan kewujudan hubungan kerjasama yang memberi manfaat kepada semua.

Beliau berkata, dengan adanya usaha itu semua pihak dalam industri pelancongan ini dapat berkongsi maklumat untuk pembangunan sektor pelancongan di rantau.

“Melalui persidangan ini, diharapkan hubungan sektor swasta dan awam dapat ditingkatkan melalui pelbagai program termasuk sesi dialog yang mana akhirnya akan mengembangkan lagi pelaburan dalam industri pelancongan,” katanya.

Terdahulu, Abdul Kadir berkata, Malaysia adalah destinasi pelancongan yang menarik kerana menyediakan tarikan yang pelbagai dengan menampilkan budaya Asia.

Katanya, kerajaan bersedia membantu sektor swasta untuk menjadikan negara ini sebagai destinasi pelancongan.

Justeru, katanya, persaingan daripada negara jiran bukanlah masalah tetapi sebaliknya faktor yang dapat membantu meningkatkan industri pelancongan di negara ini.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi