Become an art dealer

PELANCONGAN

Utusan Malaysia 30 Julai 2001

Syor jadikan Fiesta Makanan acara tahunan

PULAU PINANG 29 Julai - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengesyorkan agar Fiesta Makanan dan Buah-Buahan dijadikan sebagai acara tahunan berikutan sambutan amat menggalakkan daripada masyarakat tempatan serta pelancong asing.

Menurut beliau, kejayaan program penutupan fiesta itu yang diadakan di negeri ini menunjukkan rakyat Malaysia serta pelancong asing gembira kerana dapat berkumpul dengan selamat sambil menikmati pelbagai makanan serta buah-buahan yang dijual di situ.

Katanya, keadaan tersebut dapat dicapai kerana semua masyarakat di negara ini pandai menjalin hubungan antara kaum.

``Makanan yang disediakan mencerminkan kepelbagaian kaum sekali gus mampu mempopularkan Malaysia sebagai destinasi makanan dan buah-buahan di seluruh dunia,'' katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan penutupan Fiesta Makanan dan Buah-Buahan 2001 yang diadakan sepanjang bulan ini anjuran Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan dengan kerja sama kerajaan-kerajaan negeri, malam tadi.

Kira-kira 150,000 masyarakat tempatan serta pelancong asing mengunjungi fiesta itu yang merupakan kali pertama dianjurkan di negara ini.

Menurut Abdullah, jika dianjurkan secara berkesan, fiesta ini boleh dijadikan produk pelancongan makanan yang dapat menarik lebih ramai pelancong berkunjung ke negara ini.

Selepas program berlangsung, Abdullah turut mengambil kesempatan untuk berjumpa serta mengucapkan tahniah kepada pasukan skuasy wanita remaja kebangsaan yang muncul sebagai naib juara kejohanan dunia yang berlangsung di Pulau Pinang serta juara skuasy wanita remaja dunia, Nicol David di atas kejayaan mereka.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum