Become an art dealer

PELANCONGAN

Utusan Malaysia 04 Ogos 2001

Pelancongan perubatan dipromosi secara besar-besaran

KUALA LUMPUR 3 Ogos - Pelancongan perubatan akan dipromosikan secara besar-besaran sebagai satu lagi produk pelancongan bagi menyumbang kepada industri pelancongan negara, kata Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan Datuk Abdul Kadir Sheikh Fadzir hari ini.

Beliau berkata buat permulaan, kementerian berkenaan akan mengadakan perbincangan dengan Pertubuhan Hospital-hospital Swasta bagi mencari kaedah bagaimana mereka dapat membantu.

``Kita akan guna rangkaian pejabat pelancongan yang terdapat di seluruh dunia untuk membantu promosi produk ini selepas kita mengadakan perancangan promosi secara lebih fokus dan terancang,'' katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berkata produk pelancongan perubatan telah lama diperkenalkan tetapi kerana promosi yang tidak diselaraskan secara terancang, ia kurang mendapat sambutan.

Abdul Kadir sebelum itu merasmikan Kelab Tourtoise Country Heights di sebuah hotel di Seri Kembangan di sini yang menyediakan kemudahan dan kelengkapan perubatan bagi mengesan sebarang jenis penyakit kepada orang awam dan pelancong asing dengan berkonsepkan ``pencegahan lebih baik daripada pemulihan''.

Abdul Kadir berkata selain itu, Kementeriannya telah menyediakan kertas kerja baru supaya program silver hair untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat pelancongan bagi warga tua, diperluaskan kepada semua golongan pelancong tanpa mengira umur.

Melalui program itu, pesara yang melancong ke Malaysia boleh menetap lebih lama daripada tempoh biasa yang dibenarkan dan urusan imigresen bagi golongan pelancong ini akan dipermudahkan.

``Sekarang kita nak bukan sahaja pesara tetapi terbuka kepada orang lain juga yang berkemampuan dan nak tinggal lebih lama (di Malaysia),'' katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Country Heights Holdinga Berhad Tan Sri Lee Kim Yew berkata syarikat itu akan membina 10 pusat perubatan yang sama seperti Kelab Tourtoise di sepuluh buah negeri yang telah dikenal pasti mempunyai tarikan pelancongan termasuk Sabah dan Sarawak.

Lee berkata pembinaan pusat itu lengkap dengan peralatan perubatan dijangka menelan belanja sebanyak RM100 juta dan akan disiapkan dalam tempoh lima tahun lagi. - Bernama

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum