Become an art dealer

PELANCONGAN

Utusan Malaysia 05 Ogos 2001

Ambil peluang Karnival Mega


ABDULLAH Ahmad Badawi dan Kadir Sheikh Fadzir melawat kedai yang mengambil bahagian dalam Karnival Jualan Mega Malaysia di Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 4 Ogos - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengajak rakyat Malaysia mengambil kesempatan dalam Karnival Jualan Mega Malaysia Ogos 2001 untuk membeli-belah.

Timbalan Perdana Menteri berkata, ini kerana sepanjang tempoh 49 hari karnival itu para peniaga memberikan potongan harga sehingga 70 peratus.

Katanya, ini membolehkan rakyat membeli barang-barang keperluan pada harga yang lebih murah daripada harga yang biasa ditawarkan.

``Kejayaan karnival ini juga bergantung kepada kemampuan rakyat membeli dan bukannya semata-mata bergantung kepada pelancong asing,'' katanya di sini malam ini.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan karnival Jualan Mega peringkat kebangsaan keempat yang diadakan sejak Ogos tahun lalu.

Turut hadir ialah Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan, Datuk Kadir Sheikh Fadzir dan Datuk Bandar, Tan Sri Kamaruzzaman Sharif.

Karnival yang berlangsung sehingga 20 September itu adalah sebahagian rancangan kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi pusat membeli-belah terbaik di rantau ini menjelang 2003.

Antara pusat membeli-belah yang menyertai karnival kali ini ialah Mid Valley Mega Mall, Jaya Jusco, Isetan, Jaya Shopping Centre, Suria KLCC, KL Plaza, Plaza Sungei Wang, Klang Parade, Plaza Alam Sentral dan Sunway Pyramid.

Sementara itu Kadir berkata, karnival itu berjaya menarik kemasukan tambahan lebih 300,000 pelancong asing berbanding jumlah biasa, 700,000 pelancong sebulan.

Katanya, RM4 bilion dibelanjakan untuk membeli-belah oleh 10.2 juta pelancong asing di Malaysia tahun lalu.

``Sejak pelancarannya tahun lalu, Malaysia menjadi salah sebuah destinasi pelancongan terbaik di dunia,'' tambahnya.

Kira-kira 10,000 orang membanjiri Jalan Tuanku Abdul Rahman untuk menyaksikan perasmian karnival tersebut termasuk wakil dari 19 negara seperti Amerika Syarikat, Jepun, Rusia dan Norway.

Antara acara sambutan semasa pelancaran ialah persembahan bunga api, kebudayaan dan konsert oleh penyanyi Fauziah Latif dan Ferhad.

Abdullah turut menyampaikan hadiah kereta jenis TD 2000 bernilai RM190,000 kepada Tim Peters yang memenangi peraduan Laman Web Karnival Jualan Mega Malaysia.

Oleh: MOHAMAD RADZI MOHD. ZIN

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum