Become an art dealer

PELANCONGAN

Utusan Malaysia 11 Ogos 2001

Pelancong ke Malaysia meningkat 44 peratus

Oleh:DALIZA ARIFFIN
KUALA LUMPUR 10 Ogos - Jumlah pelancong yang melawat ke Malaysia bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini meningkat 44 peratus kepada 7.23 juta berbanding 5.02 juta dalam tempoh yang sama tahun sebelumnya meskipun keadaan ekonomi serantau yang lembap kini.

Menurut kenyataan Majlis Tindakan Ekonomi Negara, jumlah itu hampir menyamai jumlah ketibaan pelancong ke Malaysia pada tahun 1999 iaitu 7.93 juta.

``Sekiranya jumlah itu berterusan dan dijangka mengatasi jumlah 10.2 juta pelancong yang datang melawat ke negara ini, ia merupakan jumlah tertinggi yang pernah dicatat dalam sejarah industri pelancongan negara,'' katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah kenyataan itu, perangkaan terbaru Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (LPPM) menunjukkan ketibaan pelancong ke negara ini antara Januari hingga Jun lalu secara puratanya telah melebihi sejuta orang sebulan.

Bulan Januari mencatatkan 1.052 juta ketibaan pelancong (berbanding 731,509 pada Januari tahun 2000), Februari sebanyak 1.090 juta pelancong (786,040 pelancong bagi tempoh yang sama tahun lalu) dan Mac mencatat rekod tertinggi sebanyak 1.392 orang (737,678 bagi tempoh yang sama tahun lalu).

Bagi bulan April pula sebanyak 1.358 juta pelancong tiba berbanding 916,382 tempoh yang sama tahun sebelumnya, Mei merekodkan 1.038 juta pelancong daripada 894,350 tahun lalu dan bulan Jun mencatatkan 1.304 juta berbanding ketibaan 960,782 pelancong.

``Kadar ketibaan pelancong ke Malaysia yang tinggi dicatat pada bulan Mac lalu disebabkan oleh perlumbaan Grand Prix Formula Satu (F-1).''

Selain itu, mengikut jumlah ketibaan pelancong, Singapura mencatat jumlah pelancong terbesar mengunjungi Malaysia dengan jumlah 3.950 juta pengunjung diikuti Thailand sebanyak 586,454 pelancong, Indonesia sebanyak 382,331 orang, China sebanyak 249,870 pengunjung, Jepun mencatat seramai 236,193 pengunjung, United Kingdom sebanyak 156,192 orang, Taiwan seramai 145,254 pengunjung dan diikuti oleh Australia sebanyak 134,446 pelancong.

Bagi perangkaan jumlah pelancongan mengikut rantau pula dalam tempoh enam bulan pertama 2001/2000, ketibaan pelancong Asia Timur meningkat sebanyak 164.9 peratus khususnya dari Arab Saudi dan Amiriah Arab Bersatu.

Tambah MTEN lagi, Semenanjung Malaysia mencatatkan ketibaan pelancong tertinggi dengan 6.887 pelancong dan diikuti dengan Sarawak seramai 223,560 orang manakala Sabah sebanyak 109,601 pengunjung.

Perangkaan ketibaan pelancong Labuan sehingga Mei ini pula hanya mencatatkan jumlah ketibaan sebanyak 16,115 pengunjung.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum