Become an art dealer

PELANCONGAN

Utusan Malaysia 01 Sept 2001

Rakyat asing turut kagumi Malaysia

Oleh: HAMDEN RAMLI, ZULKIFLI JALIL dan SAIFULIZAM MOHAMAD
KUALA LUMPUR 31 Ogos - Sambutan ulang tahun kemerdekaan negara ke-44 di Dataran Merdeka hari ini bukan sahaja dikagumi oleh rakyat tempatan, tetapi turut menarik perhatian pelancong asing.

Mereka yang ditemui gembira dan terhibur dengan persembahan yang diadakan serta menyifatkannya sebagai antara acara terbaik pernah disaksikan.

Mereka turut kagum dengan pencapaian yang telah ditunjukkan oleh negara selepas merdeka seperti mana yang dipersembahkan dalam acara perarakan.

Pelancong dari Jerman, Thomas Honigman, 35, berkata, acara yang diadakan hari ini sungguh menarik dan unik kerana ia menggabungkan kebudayaan daripada pelbagai kaum negara ini.

L``Ini akan menjadi kenangan manis bagi saya kerana dapat bersama-sama dengan rakyat negara ini menyambut kemerdekaan dengan penuh meriah dan warna-warni,'' katanya.

Pelancong dari Belanda, Jacquline Bens, 30, pula menyifatkan sambutan itu sebagai acara paling meriah yang pernah disaksikan.

Katanya, beliau kagum dengan semangat bersatu padu yang ditunjukkan oleh rakyat negara ini termasuk para peserta yang menjayakan perarakan.

``Walaupun rakyat di negara ini terdiri daripada pelbagai kaum, tetapi semangat bersatu padu yang ditunjukkan oleh mereka ketika menyambut kemerdekaan amat mengagumkan saya,'' ujarnya.

Pelancong Kanada, Al Joly, 44, pula berkata, sambutan Hari Kemerdekaan di sini amat menakjubkan.

``Ia penuh warna-warni dan menggabungkan pelbagai budaya, muzik dan juga persembahan,'' katanya.

Angelica Marcano, 27, dari Venezuela berkata, pengalaman menyambut kemerdekaan tahun lalu di Shah Alam menarik perhatiannya untuk datang lagi ke Malaysia.

``Kali ini saya datang lebih awal dan saya dapat rasakan suasana yang lebih meriah berbanding tahun lalu,'' katanya.

Mark Schouten, 26, dari Belanda pula berkata, dia seronok dan bertuah kerana dapat berada di Dataran Merdeka pada hari ini.

``Saya tidak pernah melihat ini semua. Pelbagai kaum bersatu, bergembira merayakan sesuatu,'' katanya yang berada di sini atas tujuan perniagaan.

Pelancong Jerman, Klug, 44, pula berkata, beliau gembira dan kagum dengan pencapaian yang telah dinikmati oleh Malaysia setelah merdeka.

``Ia sungguh mengagumkan melihat kemajuan dalam bidang perindustrian seperti ditunjukkan pada perarakan tadi ,'' katanya.

Henk Van Der Sluijs, 32, dari Belanda, berkata, beliau tidak menyesal memendekkan percutiannya di Pulau Tioman untuk berada di sini menyaksikan kehebatan sambutan Hari Kemerdekaan.

``Hari ini adalah untuk kita gembira bersama-sama dan bukan untuk saling membenci antara satu sama lain. Saya rasa bertuah kerana menjadi sebahagian daripadanya,'' ujarnya.

Dalam pada itu, seorang warga tempatan Gurmit Singh, 36, berkata, beliau tidak mahu melepaskan peluang menyambut Hari Kemerdekaan selepas terlepas peluang tahun lalu.

``Ini cuma sekali setahun,'' katanya yang sanggup untuk mewarnakan serban dengan warna bendera Malaysia serta memakaikan anaknya dengan pakaian berlatarkan warna Jalur Gemilang.

``Ini untuk membangkitkan lagi semangat kemerdekaan,'' tambahnya.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum