PELANCONGAN

Berita Harian 10 April 2001

Visa untuk China, India dilonggar



ANTARA delegasi dalam dan luar negara yang menghadiri
persidangan tahunan Persatuan Pelancongan Asia Pasifik (Pata) ke-50
yang dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad
di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), semalam.


KUALA LUMPUR, Isnin – Malaysia akan terus melonggarkan peraturan perjalanan, terutama bagi pelancong dari China dan India untuk membantu memesatkan lagi industri pelancongan tempatan, kata Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri berkata, China yang mempunyai 1.3 bilion penduduk dan India dengan 1 bilion, menawarkan peluang terbaik Malaysia untuk menarik kedatangan mereka dan tahun lalu saja, jumlah ketibaan pelancong dari kedua-dua negara itu meningkat 200 peratus.

Malah, katanya, jumlah ketibaan pelancong di Malaysia tidak akan terjejas berikutan kelembapan ekonomi Amerika Syarikat kerana tidak ramai pelancong Amerika datang ke sini, sebaliknya tumpuan perlu diberi kepada rantau Asia Pasifik.

Bagi mencapai matlamat itu, katanya, kerajaan sudah melonggarkan beberapa peraturan berkaitan visa dan lawatan secara berkumpulan seperti membenarkan orang perseorangan dari China melawat negara ini berbanding secara berkumpulan sebelum ini.

Beliau berkata, Malaysia tidak mahu menyusahkan pelawat yang datang ke negara ini, sebaliknya akan terus meningkatkan usaha untuk menarik lebih ramai pelancong kerana industri pelancongan menyumbang pendapatan tukaran asing kedua terbesar kepada negara.

“Kita sedar mengenai pelbagai masalah yang dihadapi oleh pelancong dari kedua-dua negara itu dan langkah sedang diambil dari semasa ke semasa untuk mengatasinya.

“Jika ada daripada kalangan mereka menghadapi masalah, sila beritahu kami. Kadangkala kita tidak sedar apa yang sebenarnya berlaku di peringkat bawah kerana tiada laporan diterima mengenainya.

“Kita sedia mendengar aduan orang ramai dan bertindak mengatasinya,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan persidangan tahunan Persatuan Pelancongan Asia Pasifik (Pata) ke-50 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini hari ini.

Dr Mahathir diminta mengulas aduan mengenai peraturan visa yang ketat dan syarat tiket pulang yang menghalang usaha untuk menarik pelancong dari China dan India ke negara ini.

“Kita sudah melonggarkan peraturan ini. Kini ia sudah tidak berapa sukar lagi... kita sedang menangani masalah ini bagi memudahkan mereka untuk membuat visa kemasukan pelbagai supaya boleh tinggal lebih lama di sini,” katanya.

Sebagai contoh, Dr Mahathir berkata Malaysia pada masa lalu hanya membenarkan pelancong China datang ke negara ini secara berkumpulan.

“Tetapi kerana rakyat China kini lebih mewah, mereka mahu datang sendiri. Sekarang, secara individu mereka boleh datang... inilah maklum balas kita kepada sesuatu aduan mengenai peraturan kita,” katanya.

Katanya, satu punca yang menghalang pelancong dari India datang ke negara ini ialah kekurangan penerbangan dan sebab itu kerajaan akan meminta lebih banyak hak mendarat di India.

“Semua penerbangan penuh. Kini Kerajaan India lebih pemurah dan memberi kita lebih banyak hak mendarat. Jika kita mempunyai lebih banyak tempat duduk, lebih ramai rakyat India akan datang dan demikian juga bagi rakyat Malaysia yang hendak ke sana,” katanya.

Beliau berkata, pertumbuhan yang menggalakkan bagi 1999 dapat terus dirasai pada tahun 2000, dengan Malaysia mencapai rekod baru dalam ketibaan pelancong iaitu 10.22 juta, ketiga tertinggi selepas China dan Hong Kong.

Ditanya sama ada kerajaan yakin ketibaan pelancong tahun ini akan melebihi jumlah tahun lalu, Dr Mahathir berkata berdasarkan kepada jumlah ketibaan bagi tempoh dua bulan pertama tahun ini, angka itu boleh meningkat kepada 12 juta.

“Sepanjang dua bulan pertama tahun ini, jumlahnya sejuta sebulan. Jika berterusan begini, kita akan dapat 12 juta dan ia sesungguhnya angka yang baik,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, sedikit masa lagi diperlukan untuk industri pelancongan menjadi penyumbang tukaran asing nombor satu kepada negara kerana sektor perkilangan masih berjalan dengan baik dan masih ada permintaan yang tinggi untuk mikrocip Malaysia.

Dr Mahathir juga berkata, kerajaan telah membuat pelaburan besar bagi membantu industri pelancongan dan insentif untuk menggalakkan sektor itu telah dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Ketujuh dan Kelapan.

“Kita sentiasa membantu mereka. Ramai yang mengalami kesusahan semasa kelembapan ekonomi, tetapi mereka kini pulih dan baru menyiapkan projek lama, bukan memulakan projek baru,” katanya.

Ketika ditanya oleh seorang wartawan New Zealand sama ada ketibaan ramai pelancong akan mendatangkan risiko kepada aspek budaya dan agama di Malaysia, Dr Mahathir berkata ia menjejaskan hanya kumpulan kecil, terutama yang mempunyai pandangan melampau mengenai agama.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi