PELANCONGAN

Berita Harian 11 April 2001

Bulan Pesta Air Nasional acara tahunan

Oleh Zulkofli Jamaludin, Rohaniza Idris dan Mohd Hamizar Hamid

KUALA LUMPUR, Selasa – Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan akan melancarkan Bulan Pesta Air Nasional 2001 pada 14 April ini dalam usaha menjadikan acara itu tarikan baru kepada pelancong dari luar negara.

Menterinya, Datuk Abdul Kadir Sheikh Fadzir, berkata Bulan Pesta Air itu akan dijadikan acara tahunan dan kementerian merancang menjadikannya acara yang bakal dinanti oleh semua pelancongan tempatan dan luar negara.

Beliau berkata, pelbagai program yang membabitkan sukan air dan aktiviti di pantai, laut, tasik dan taman tema air akan diadakan sepanjang bulan berkenaan.

“Bulan Pesta Air diperkenalkan tahun lalu, tetapi dijalankan dalam keadaan tergesa-gesa dan tidak mencapai sasaran seperti yang kita kehendaki. Bagi tahun ini, kementerian sudahpun menyediakan pelbagai program yang lebih teratur,” katanya pada sidang akhbar di kementeriannya, hari ini.

Hadir sama, Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Tengku Alauddin Tengku Abdul Majid.

Abdul Kadir berkata, pelancaran pesta itu akan diadakan di Taman Esplanade, Kuantan, Pahang dan dilancarkan oleh Yang di-Pertuan Agong, mulai jam 8.30 malam.

Katanya, pada majlis itu, kementerian akan memperkenalkan bahtera diraja yang akan menjadi tarikan sepanjang bulan itu diadakan.

Beliau berkata, selain acara pelancaran ada tiga acara utama sepanjang bulan berkenaan iaitu pelancaran Pesta Air Nasional 2001 Negeri Perak pada 21 April; Pesta Air Nasional Perlis (28 April) dan acara penutup Pesta Air di Port Dickson (12 Mei 2001).

“Setiap negeri juga ada menganjurkan acara masing-masing seperti pertandingan kayak, ekspedisi jelajah sungai, memancing, mencandat sotong, river safari dan bot laju,” katanya.

Pesta Air, katanya, adalah strategi baru kerajaan untuk menarik lebih ramai pelancong ke negara ini melalui program eko-pelancongan.

“Eko-pelancongan adalah strategi pelancongan yang menguntungkan kerana ia mampu memberi pulangan yang lumayan kerana pembangunannya berasaskan kepada kekayaan sumber sedia ada,” katanya.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi