PELANCONGAN

Utusan Malaysia 07 April 2001

Kunjungan 2 juta pelancong dalam 2 bulan catat sejarah

KUALA LUMPUR 6 April - Industri pelancongan negara mencatat sejarah apabila lebih 2 juta pelancong asing berkunjung ke Malaysia dalam tempoh dua bulan pertama tahun ini.

Menurut Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan, Datuk Abdul Kadir Sheikh Fadzir, jumlah tertinggi itu menunjukkan peningkatan hampir 50 peratus kehadiran pelancong asing berbanding jumlah kedatangan tahun lalu.

Dalam tempoh enam bulan pertama tahun lalu, Malaysia menerima kunjungan 4.7 juta pelancong asing iaitu purata kira-kira 1.5 juta orang bagi tempoh dua bulan.

Beliau menambah lebih 1 juta pelancong asing berkunjung ke negara ini dalam masa sebulan iaitu sejak Disember tahun lalu sehingga perangkaan terkini iaitu Februari lalu.

``Peningkatan ini merupakan rekod pencapaian tertinggi dalam sejarah industri pelancongan negara. Ini merupakan pencapaian luar biasa berkat hasil kerjasama semua pihak terbabit,'' katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Pameran Pelancongan Antarabangsa (MITF) 2001 Ke-11, di Seri Kembangan di sini.

Pameran itu adalah anjuran Persatuan Pengusaha Agensi-Agensi Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) di Pusat Pameran dan Konvensyen Antarabangsa Malaysia (MIECC).

Turut hadir ialah Presiden MATTA, Tunku Datuk Seri Iskandar Tunku Abdullah dan Timbalan Presiden, Judy Cheah Wai Heng.

Abdul Kadir berkata, kerajaan mengiktiraf MATTA sebagai persatuan tunggal bagi mewakili pihak-pihak terbabit seperti hotel dan agensi pelancongan sebagai pemangkin dalam menguruskan aktiviti-aktiviti berkaitan.

``MATTA sejak tahun 1998 nampaknya bersungguh-sungguh dan aktif mengambil bahagian dalam pameran pelancongan yang diadakan di seluruh dunia bagi menarik pelancong asing ke negara ini.

``Setakat ini kerajaan berpuas hati dengan kerja sama yang diberikan,'' katanya.

Sementara itu, Judy memberitahu penyertaan peserta MITF 2001 menunjukkan peningkatan 100 peratus iaitu melibatkan 668 jumlah ruang pameran berbanding 350 ruang pameran pada 1999.

``Hampir 80 peratus penyertaan mempromosikan pelbagai maklumat pakej percutian dalam negara dengan tawaran menarik,'' katanya.

Dalam perkembangan yang sama, Pengarah Urusan dan Pengasas Malaysia Book of Records, Danny Ooi mengiktiraf penganjuran MITF dengan keluasan merangkumi 158,000 kaki persegi adalah terbesar setakat ini.

MITF yang berlangsung tiga hari sehingga 8 April, turut disertai oleh 25 pejabat pelancongan termasuk dari Australia, China, Hong Kong, India, Afrika Selatan dan Korea Selatan.

Oleh: RAJMAH HASSAN SHIRAT

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi