PELANCONGAN

Utusan Malaysia 08 April 2001

Pelancongan: Asia Pasifik paling pesat

KUALA LUMPUR 7 April - Pertubuhan Pelancongan Dunia (WTO) serta Majlis Pelancongan dan Pengembaraan Dunia (WTTC) mengiktiraf rantau Asia Pasifik sebagai kawasan yang mencatatkan pertumbuhan paling pesat dalam bidang pelancongan dan pengembaraan.

Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan, Datuk Abdul Kadir Sheikh Fadzir berkata, dianggarkan 195 juta daripada 1.01 bilion pelancong yang melawat dan mengembara pada 2010, adalah dari kawasan Asia Pasifik.

``Sehubungan itu, pelancongan telah menjadi sektor penting bagi negara-negara APEC (Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik) dan ia patut diberi tumpuan sebagai kegiatan yang boleh menjana ekonomi,'' katanya semasa berucap merasmikan Forum Pelancongan APEC ke-2 di sini hari ini.

Bidang pelancongan, katanya, antara bidang perkhidmatan penting dalam membangunkan ekonomi negara-negara APEC kerana ia menawarkan tukaran mata wang asing, peluang pekerjaan dan bidang sosioekonomi lain.

Bagaimanapun, katanya, untuk melihat pertumbuhan sektor pelancongan terus kekal, agensi swasta perlu bekerjasama membantu kerajaan dengan mengadakan dialog dan perbincangan bagi faedah bersama.

Menurutnya, cabaran sebenar memajukan sektor pelancongan dalam rantau berkenaan ialah tahap perkongsian pintar antara kerajaan dan swasta yang dapat direalisasikan.

Sebagai contoh, kata beliau, Malaysia telah berjaya memajukan sektor pelancongannya hasil kerjasama rapat antara agensi kerajaan dan swasta.

Melalui kerjasama itu, katanya, kedua-dua pihak merancang strategi pemasaran dan promosi dengan memberi penekanan kepada kempen `Malaysia Asia Sebenar' yang bermaksud perkara-perkara menarik di Asia boleh didapati dengan mengunjungi negara ini.

Dalam pada itu, Abdul Kadir berkata, Malaysia menyokong penuh penubuhan Kumpulan Kerja Pelancongan (TWG) APEC yang diwujudkan semasa Deklarasi TWG APEC di Seoul, Korea Julai tahun lepas yang mengiktiraf peranan sektor pelancongan dalam pembangunan ekonomi serantau.

``Ia (deklarasi) merupakan hasil perbincangan dan dialog melalui Forum APEC pertama membabitkan agensi kerjaan dan swasta,'' katanya.

Bercakap pada sidang media kemudian, Abdul Kadir berkata, forum kali ini mencatatkan penyertaan terbesar dari 21 negara dengan kehadiran kira-kira 300 perwakilan.

Katanya, pemilihan tema `Bekerjasama Dari Segi Pasaran Pelancongan Dalam Rantau APEC' menunjukkan perlunya kerjasama diwujudkan di kalangan negara anggota dalam pasaran pelancongan.

Beliau turut memuji penyertaan sektor swasta yang semakin menggalakkan pada forum kali ini membuktikan sokongan mereka dalam memajukan sektor pelancongan di negara ini semakin kuat.

Beliau menambah, seramai lapan orang membentangkan kertas kerja masing-masing pada forum kali ini dan resolusi forum akan dibawa ke mesyuarat menteri-menteri pelancongan APEC tahun depan.

Oleh: LAUPA JUNUS

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi