Make your own free website on Tripod.com

PELANCONGAN

Utusan Malaysia 09 April 2001

Alam sekitar jamin masa depan Langkawi


DR. MAHATHIR Mohamad beramah mesra dengan artis yang mempersembahkan tarian kebudayaan istana musim panas di Pantai Kok, Teluk Burau, Langkawi, semalam.

LANGKAWI 8 April - Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad mencadangkan beberapa langkah perlu diambil untuk menjamin masa depan Langkawi dengan penekanan kepada penjagaan alam sekitar.

Perdana Menteri berkata, alam sekitar penting sebagai daya tarikan pelancong ke pulau ini.

Beliau menarik perhatian, pengambilan tanah yang berlebihan akan menyebabkan bukit menjadi rata, oleh itu sebaik-baiknya tanah untuk projek pembangunan diambil dari kawasan lain.

``Tanam lebih banyak pokok, saya syorkan spesies Acacia Mangium yang cepat membesar serta bernilai untuk industri perabot,'' ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di sini hari ini ketika ditanya reaksinya tentang kenaikan taraf pihak berkuasa tempatan pulau ini kepada Majlis Perbandaran Langkawi (MPL) Bandar Raya Pelancongan pada 24 Mac lalu.

Perdana Menteri berkata, infrastruktur penting seperti jalan raya juga patut diperbesarkan untuk keperluan jangka panjang.

Dr. Mahathir yang kali terakhir melawat Langkawi pada November tahun lalu, kembali dengan rasa puas hati melihatkan perkembangan projek-projek pembangunan di pulau ini.

``Lama saya tidak datang, ada beberapa projek yang sedang dilaksanakan dan saya berpuas hati dengan kemajuannya,'' kata beliau.

Dr. Mahathir yang tiba malam tadi, sempat melawat beberapa projek antaranya pemulihan Pantai Kok, kereta kabel di Kampung Oriental, limbungan membaik pulih kapal layar di Tanjung Lembung dan projek pengindahan Sungai Kuala Melaka.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi