PELANCONGAN

Utusan Malaysia 09 April 2001

Industri pelancongan perlu kerjasama seluruh rakyat - Lidah Pengarang

SEPANJANG minggu ini kita menyaksikan pelbagai kegiatan dalam usaha mencari jalan memajukan industri pelancongan di negara ini.

Persatuan Pengembaraan Asia Pasifik (PATA) yang mempunyai pengaruh besar dalam industri pelancongan di rantau ini sedang mengadakan persidangan tahunannya di sini.

Hujung minggu lalu, Forum Pelancongan Majlis Ekonomi Asia Pasifik (APEC) Kedua turut diadakan. Begitu juga Pesta Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Antarabangsa Malaysia (MATTA) 2001 sedang turut dianjurkan. Sudah menjadi penerimaan umum bahawa industri pelancongan amat penting kerana ia mampu memberi pendapatan tambahan kepada negara.

Atas kesedaran ini juga, kerajaan telah mengadakan pelbagai program untuk memajukan industri pelancongan. Dalam hal ini, kita akui kenyataan Menteri Kebudayaan, Seni dan Pelancongan, Datuk Abdul Kadir Sheikh Fadzir bahawa kejayaan industri ini bergantung kepada usaha pacuan sektor swasta dengan sokongan sektor awam. Ini bermakna usaha sektor awam atau kerajaan ini tidak akan berjaya tanpa digerakkan dan didorong oleh sektor swasta.

Sememangnya sektor swasta yang menggerakkan perniagaan pelancongan sama ada daripada kalangan ejen pelancongan, pengangkutan, perhotelan, rekreasi, penyusun acara, ataupun pusat-pusat membeli-belah.

Pihak kerajaan boleh menggalakkan perniagaan industri-industri ini seperti mengadakan pelbagai kempen serta menyediakan dan mencekapkan infrastruktur.

Tetapi akhirnya, yang benar-benar menggerakkan dan juga meraih keuntungan langsung ialah pengusaha-pengusaha dalam industri-industri yang berkaitan dengan pelancongan itu.

Namun begitu, pada keseluruhannya, kita percaya kejayaan sebenar industri pelancongan memerlukan kesedaran dan kerjasama rakyat Malaysia sendiri.

Selain daripada pihak kerajaan dan sektor swasta bekerjasama untuk memajukan pelancongan, rakyat juga harus bersedia untuk memiliki sikap menyumbang kepada industri ini.

Contohnya, bermula daripada kesedaran memelihara kebersihan di tempat-tempat awam hinggalah kepada mengambil kira soal pelancongan negara dalam membuat sebarang keputusan semasa menjalankan kerja-kerja seharian.

Untuk lebih memahami keperluan pelancong, rakyat negara ini juga harus sendiri menjadi pelancong dalam negeri.

Dengan menjadi pelancong dalam negeri, bukan saja ia boleh meningkatkan kualiti hidup diri sendiri dan keluarga melalui rekreasi pelancongan, tetapi juga dapat mengukuhkan lagi kekuatan ekonomi industri itu.

Apabila tempat-tempat pelancongan di dalam negeri menjadi lebih kukuh, maka ia juga dapat mempertingkatkan kualiti perkhidmatannya yang akan memudahkannya menerima pelancong luar negara.

Selain itu, dengan sering kali melakukan perjalanan, seseorang itu akan memperoleh idea-idea baru bagaimana hendak meningkatkan industri pelancongan di negara ini.

Selain dari sudut komersial pelancongan, peningkatan kunjungan pendatang luar ke negara ini dengan sendirinya akan memasyhurkan kemakmuran Malaysia di mata dunia.

Maklum balas daripada pendatang-pendatang luar jika dimanfaatkan dengan baik akan membolehkan kita memperbaiki lagi negara ini dalam meningkatkan kualiti hidup masyarakat.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi