Make your own free website on Tripod.com
Macworld Magazine

PENDIDIKAN

Berita Harian 21 mac 2001

CATS mampu lahir individu berfikiran kritis, kreatif


AHLI akademik berpendapat Kursus Kemahiran Berfikir, Cambridge Award In Thinking Skill (CATS), yang dianjurkan oleh Berita Harian Sdn Bhd dengan kerjasama Cambridge International Examinations (CIE), mampu menjadi wadah bagi melahirkan lebih ramai individu yang berfikiran kritis, analitikal dan kreatif.

Mereka turut menyokong dan menyambut baik langkah Berita Harian menganjurkan kursus berkenaan serta yakin ia mampu menarik peserta, bukan saja di kalangan warga pendidik malah golongan profesional mengikutinya.

Menurut Timbalan Presiden Kolej Inpens, Dr Mohd Sohod Mohammad, kursus berkenaan penting bagi mengasah pemikiran supaya lebih kritis dan mantap terutama di kalangan golongan muda, daripada hanya memahami dan mengingati fakta kepada lebih analitikal.

“Ini membawa kepada perubahan mereka berfikir dan mampu menyelesaikan masalah dengan lebih bijaksana serta berkesan,” katanya selepas majlis pelancaran program itu.

Beliau berkata, CATS adalah methodologi atau alat untuk meningkatkan daya pemikiran supaya seseorang mampu menyelesaikan permasalahan dengan lebih baik.

“Bagi pelajar umpamanya yang sukar menjawab soalan peperiksaan yang memerlukan pendapat atau cadangan, ini berpunca daripada pemikiran yang tidak kritis di samping kurangnya pembacaan,” katanya.

Sehubungan itu, katanya pendidik atau siapa saja yang mengikuti program CATS, pembangunan akal akan berlaku sekali gus menjadikan mereka lebih berjaya mengendalikan apa juga tugas yang diberikan.

Dr Sohod yang sebelum ini fasilitator kursus Kemahiran Berfikir Secara Kreatif yang dikendalikan Kementerian Pendidikan di maktab perguruan juga mencadangkan supaya guru sekolah turut meluangkan masa untuk mengikuti kursus bagi menjadikan fikiran mereka lebih segar.

Pengarah Urusan Education Venture Sdn Bhd, Ng Yee Hing, berpendapat kursus ini patut diberi perhatian utama dalam usaha memperbaiki sistem pendidikan negara.

Selaras dengan usaha menjadikan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan pendidikan, CATS sekali gus menawarkan satu kaedah yang boleh diamalkan secara menyeluruh.

“Ia adalah satu kursus tambahan yang amat bernilai kepada pelajar bukan sahaja di peringkat menengah tetapi juga sekolah rendah,” katanya yang juga Ahli Majlis Persatuan Kebangsaan Institusi Pendidikan Swasta dan Bebas (Napiei).

Beliau berkata, kemahiran berfikir perlu dilatih di peringkat awal kerana ia adalah proses yang memakan masa lama sebelum mencapai kejayaan sepenuhnya.

Fadillah Abdullah pula mencadangkan supaya setiap guru menyertai kursus berkenaan supaya mereka kemudian boleh mengajar anak murid kaedah berfikir yang amat diperlukan oleh semua individu itu.

Menurutnya, jika tumpuan hanya diberi kepada pelajar, mungkin tidak ramai yang mampu untuk mengikutinya walaupun kos RM450 mungkin mahal bagi sesetengah pelajar yang menghadapi masalah kewangan.

Program berkenaan, katanya akan melatih pelajar ke arah lateral thinking yang akan melahirkan pelajar yang bukan saja cemerlang dalam akademik, malah juga dalam mengendalikan alam pekerjaan dan hidup mereka.

Secara keseluruhan, pengisian kursus berkenaan mencakupi aspek Aritmatik Gunaan, iaitu kemahiran menggunakan angka dalam menyelesaikan masalah, Komunikasi (menguji kefahaman melalui petikan), dan juga Penilaian Permasalahan (menguji keupayaan memahami, menilai atau mentafsir).

Kursus itu yang julung kali dianjurkan di Malaysia dikelolakan oleh Lembaga Peperiksaan Tempatan Universiti Cambridge (UCLES), England, melalui CIE.

Ia terbuka kepada orang ramai yang berminat dari peringkat lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sehinggalah kepada individu sudah bekerja dengan kadar yuran sebanyak RM450.

Kursus membabitkan tempoh pengajian selama 30 jam dengan bahasa pengantar dalam bahasa Inggeris itu akan diadakan di Pusat Latihan NSTP, Jalan Riong, Kuala Lumpur, bermula Julai ini, di bawah pengendalian fasilitator dari kalangan tenaga profesional yang terlatih dan juga berwibawa.

Mereka ialah Prof Ir Datuk Dr Sahol Hamid Abu Bakar, Prof Dr John Arul Phillips, Dr Mohamed Fadzil Ramli, Dr Leo Ann Mean, Izehari Basar, Sebastian a/l K Francis, Lee Gwo Jiuh dan Ramli Ahmad.

Peperiksaan akan diadakan pada Mei dan Oktober, di mana calon berjaya akan dianugerahkan sijil daripada CIE, iaitu sebuah badan peperiksaan terkemuka yang berpengalaman luas dan diiktiraf pada peringkat antarabangsa.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi