Click here to download freeware

PENDIDIKAN

Utusan Malaysia 07 Jun 2001

Tiada sistem kuota ke IPTS

PUTRAJAYA 6 Jun - Mesyuarat Kabinet hari ini memutuskan untuk tidak mewujudkan sistem kuota mengikut kaum bagi kemasukan ke institusi pendidikan tinggi swasta (IPTS) di negara ini.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Ling Liong Sik berkata, jemaah menteri berpendapat sistem itu tidak perlu kerana tiada mana-mana kaum sekarang yang menghadapi masalah untuk memasuki IPTS.

``Sesiapa yang mempunyai cukup pembiayaan bagi membayar yuran sama ada berbentuk biasiswa atau pinjaman sentiasa dialu-alukan oleh IPTS,'' katanya pada sidang akhbar sebelum mempengerusi mesyuarat mingguan kementerian, di sini.

Sidang akhbar itu adalah kali pertama diadakan di pejabat barunya yang terletak di Blok D5, Kompleks Pejabat Kerajaan Parcel C, di sini.

Dr. Ling yang juga Presiden MCA berkata, partinya menyambut baik keputusan kabinet tersebut.

Tambahnya, ketiadaan sistem kuota terbabit akan membantu merealisasikan hasrat kerajaan menjadikan Malaysia pusat kecemerlangan ilmu di rantau ini.

``Ini akan menarik pelajar luar negara seperti dari Indonesia, China dan Thailand,'' katanya.

Ditanya sama ada keputusan itu dibuat setelah kabinet menerima memorandum daripada pihak tertentu, Dr. Ling menjelaskan, tiada sebarang cadangan diterima daripada mana-mana pihak berhubung perkara itu.

Dalam perkembangan lain, Dr. Ling menafikan dakwaan Presiden Gerakan, Datuk Seri Dr. Lim Keng Yaik semalam bahawa akhbar The Star yang dikuasai MCA enggan membuat liputan mengenai pemimpin Gerakan.

``Perkara ini tak berbangkit kerana penyiaran berita bergantung kepada nilai berita. Kalau tak penting, editor sudah pasti tidak menyiarkannya,'' jelasnya.

Mengenai permintaan Dr. Lim supaya MCA menghormati pandangan masyarakat Cina berhubung isu pengambilalihan Nanyang Press Holdings Bhd., Dr. Ling berkata: ``Kami sentiasa bersedia mendengar. Kami telah memberi perhatian terhadap semua komen dan berterima kasih kepada mereka.''

Dua minggu minggu lalu, mesyuarat Jawatankuasa Pusat MCA meluluskan pembelian 72.23 peratus saham Nanyang Press Holdings yang menerbitkan akhbar Nanyang Siang Pau dan China Press, menerusi sayap pelaburannya Huaren Management Sdn. Bhd.

Oleh: NIZAM YATIM

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum