Click here to download freeware

PENDIDIKAN

Utusan Malaysia 08 Jun 2001

Majalah Varsiti terbitan MPMUM mencemuh pemimpin

Oleh:MARHAINI KAMARUDDIN dan AKMAR HISHAM MOKHLES
KUALA LUMPUR 7 Jun - Pengedaran majalah Varsiti 2001 terbitan Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya (MPMUM) yang mengandungi artikel dan gambar mencemuh serta menghina pemimpin negara menimbulkan tanda tanya bagaimana ia boleh terlepas daripada tapisan dan pengetahuan pihak universiti.

Beberapa orang yang menerima majalah tersebut melalui pos ketika menghubungi Utusan hari ini terkejut dengan pengeluaran majalah itu yang menurut mereka menonjolkan imej pemimpin negara dalam keadaan yang memalukan dan hina.

Utusan yang turut menerima senaskhah majalah itu hari ini mendapati hampir keseluruhan isi kandungannya dimuatkan dengan laporan politik kebencian termasuk yang dipetik daripada laman web reformasi.

Naib Canselor universiti itu, Prof. Datuk Dr. Anuar Zaini Mohd. Zain yang turut menerima majalah berkenaan berkata, beliau tidak menolak kemungkinan ia diterbitkan oleh pelajar universiti itu sendiri.

Beliau yang ditemui di universiti itu hari ini memberitahu, majalah tahunan tersebut dicetak tanpa pengetahuan atau kebenaran pihak universiti.

Dalam pada itu, Presiden MPMUM, Mohd. Fuad Mohd. Ikhwan yang dihubungi Utusan memberitahu pihaknya percaya majalah itu diterbitkan secara palsu.

``Kami tidak tahu menahu siapa sebenarnya yang menerbitkan majalah itu,'' katanya.

Sehubungan itu, menurut Fuad pihaknya berhasrat bertemu dengan Anuar Zaini untuk memberi penjelasan mengenai majalah tersebut.

Petang ini MPMUM membuat laporan polis di Balai Polis Brickfields berhubung penerbitan majalah yang mereka dakwa palsu itu.

Tahun lalu, majalah yang sama turut mengundang kontroversi kerana menyiarkan artikel berbaur politik kepartian pembangkang.

MPMUM bagaimanapun mengakui bertanggungjawab menerbitkan majalah berkenaan.

Barisan kepimpinan MPMUM yang baru dan sebelum ini dikatakan condong kepada pembangkang.

Selain dua halaman mengenai latar belakang Canselor UM, Sultan Azlan Shah dan visi kepimpinan mahasiswa, hampir semua isi kandungan lain majalah setebal 88 halaman itu menjurus ke arah gerakan mahasiswa untuk menggulingkan kerajaan.

Majalah yang dikelolakan oleh sidang redaksi sesi 2000/2001 diketuai oleh Pengerusi Biro Penerbitan dan Penerangan MPMUM, Ahmad Termizi Abdul Aziz itu, tidak langsung memuatkan artikel bercorak akademik.

Sebaliknya majalah berkenaan lebih menumpukan kepada isu-isu politik yang tidak ada kena-mengena dengan pembelajaran di institusi pengajian tinggi (IPT) atau menggambarkan identiti mahasiswa universiti awam.

Kandungannya mengutuk kerajaan yang memerintah dan pemimpin-pemimpinnya termasuk memaparkan gambar-gambar yang mengaibkan pemimpin negara.

Bagaimanapun, Ahmad Termizi ketika ditemui hari ini, menafikan penglibatan beliau dalam penerbitan majalah itu.

Majalah Varsiti diedarkan sebaik sahaja sesi baru pengajian bermula.

Bagaimanapun dakwa Ahmad Termizi tahun ini pihaknya masih dalam proses mengumpul bahan dan majalah itu dijangka diterbitkan November ini.

Difahamkan majalah Varsiti 2001 itu turut dihantar melalui pos laju kepada Timbalan-timbalan Naib Canselor universiti itu sejak semalam.

Naskhah-naskhah majalah itu juga dikatakan telah diedarkan kepada pelajar di sekitar kampus UM.

Dalam pada itu, ruangan wawancara dengan Presiden MPMUM, Mohd. Fuad, gambar demonstrasi turut dimuatkan bersama-sama petikan ``Demonstrasi adalah satu-satunya jalan terbaik untuk menyelesaikan masalah. Justeru itu demonstrasi wajar diteruskan.''

Walaupun terdapat ruangan Bicara Ilmiah, artikel bertajuk Tiga Golongan Penentang Kebenaran yang disumbangkan oleh Persatuan Mahasiswa Islam UM (PMIUM) turut menyertakan gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad yang berpakaian Firaun hasil teknik `super-imposed'.

Turut dimuatkan gambar Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Hishammuddin Tun Hussein, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Rafidah Aziz, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri S. Samy Vellu, bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin dan Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Aziz Shamsuddin, dengan gelaran yang memalukan.

Varsiti 2001 juga memberi ruang yang begitu besar kepada Gabungan Mahasiswa Islam Semenanjung (Gamis), pertubuhan tidak berdaftar yang ditubuhkan hasil perbincangan Persatuan Mahasiswa Islam UM (PMIUM) dengan Timbalan Presiden Pas, Abdul Hadi Awang.

Ruangan Sejarah sebanyak 11 halaman, memaparkan kronologi perjuangan PMIUM dan Gamis dari 1990 hingga 2001 yang menonjolkan penglibatan secara aktif mahasiswa dalam demonstrasi jalanan.

Halaman 18 majalah itu, menurunkan saf pimpinan Gamis beserta kedudukan mereka dalam parti Pas yang diambil daripada majalah Detik.

Majalah yang sepatutnya memaparkan aktiviti keilmuan mahasiswa itu juga, memberi publisiti murahan kepada bekas pemimpin pelajar dan tenaga pengajar UM yang kini menduduki kepimpinan Pas.

Ucapan tahniah kepada wakil-wakil rakyat Pas turut dipaparkan dalam majalah tersebut.

Akhirnya, kulit belakang Varsiti 2001 memuatkan karya Dinsman bertajuk Macam Orang Gila yang dipercayai ditujukan kepada Dr. Mahathir. Prosa itu pernah dibacakan pada majlis ceramah parti-parti pembangkang pada 1999.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum