Click here to download freeware

PENDIDIKAN

Utusan Malaysia 04 Mei 2001

Bahasa Melayu sepatutnya dapat mengungkap kretiviti

BAHASA Melayu sepatutnya menjadi bahasa yang dapat mengungkapkan kreativiti pemikiran dan kebudayaan Malaysia dalam menuju era dunia tanpa sempadan dan ledakan teknologi maklumat.

Menurut Ketua Pengarah Pendidikan, Abdul Rafie Mahat, bahasa Melayu hendaklah digunakan secara berkesan dalam sektor-sektor penting sebagai menandai kewujudan bangsa Melayu dalam sebuah negara yang maju dan berdaulat.

``Bahasa Melayu bukan sahaja berperanan sebagai alat peniup semangat nasionalisme bangsa tetapi juga sebagai alat pembangunan negara,'' katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian Konvensyen Bahasa Kebangsaan 2001 anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di Hotel Nikko, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Pada majlis tersebut, DBP turut melancarkan buku bertajuk Daftar Kata Bahasa Melayu jilid 1 dan 2.

Mengulas lanjut beliau berkata, kerajaan harus memberi penekanan kepada rakyat agar menguasai bahasa kebangsaan supaya matlamat untuk memartabatkan bahasa Melayu dalam semua bidang akan tercapai.

``Penguasaan bahasa kebangsaan yang mantap di kalangan warganegara merupakan unsur penting dalam membentuk jati diri dan kecintaan kepada negara,'' ujarnya.

Abdul Rafie berkata, kemampuan bahasa kebangsaan dalam pembangunan negara tidak wajar diperkecilkan.

``Ini kerana penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam sistem pendidikan negara telah terbukti melahirkan ramai golongan cerdik pandai.

``Mereka telah sama-sama memainkan peranan dan memberi sumbangan dalam pembentukan dan pembangunan negara,'' katanya.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum