Click here to download freeware

PENDIDIKAN

Utusan Malaysia 09 Jun 2001

Salur maklumat peluang biasiswa

KOTA BHARU 8 Jun - Para pegawai tentera diminta menjelaskan kepada anggota bawahan mereka mengenai kemudahan bantuan pembiayaan pendidikan Kementerian Pertahanan bagi mengelakkan anak anggota tentera tercicir dalam pelajaran ekoran masalah kewangan.

Panglima Lapan Briged, Brigedier Jeneral Ramli Harun berkata, langkah itu perlu untuk memastikan setiap maklumat dapat disalurkan ke peringkat akar umbi, sekali gus mengelakkan kejadian anak anggota tentera yang cemerlang dalam pendidikan gagal melanjutkan pelajaran.

``Baru-baru ini satu insiden telah berlaku apabila anak anggota yang mendapat 7A gagal melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi awam kerana masalah kewangan, sedangkan peluang pembiayaan pendidikan boleh diperoleh.

``Gunakanlah kebijaksanaan saudara-saudara bagaimana untuk menyampaikan maklumat supaya segala surat pekeliling dan kawat yang dihantar tidak hanya disimpan di bilik ketua kerani pasukan sahaja,'' katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyerahan cek biasiswa Yayasan Perajurit 1999 kepada kira-kira 40 anak anggota tentera yang berjaya dalam peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan PMR lalu di Kem 8 Briged Pengkalan Chepa di sini, hari ini.

Beliau juga menggesa anak-anak anggota tentera supaya menunjukkan kebolehan dan kemampuan mereka dalam bidang akademik jika ingin berjaya pada masa hadapan.

Menurut beliau, kebolehan dan kemampuan itu bagaimanapun mestilah konsisten dan tidak terhenti di pertengahan bagi membolehkan mereka mengukir kejayaan pada masa hadapan.

Beliau berkata, ini kerana terdapat fenomena di mana ada anak anggota tentera yang mencatat pencapaian cemerlang dalam peperiksaan di peringkat sekolah rendah dan menengah rendah, tetapi gagal meneruskan prestasi itu ke peringkat lebih tinggi.

``Bila di peringkat Penilaian Menengah Rendah (PMR) bagus, tetapi bila sampai Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mereka gagal,'' katanya.

Ramli turut meminta kalangan anggota tentera supaya turut memberikan perhatian dan pengorbanan di segi masa dan wang ringgit dalam memastikan kejayaan anak-anak mereka di bidang akademik.

``Kepada ibu bapa, saya ingin berpesan supaya berilah sedikit perhatian kepada anak-anak serta berkorban untuk mereka bagi mencapai kejayaan. Kejayaan anak-anak merupakan satu pelaburan bagi masa depan kita,'' katanya.

Menurut Ramli, sumbangan itu adalah sebagai insentif kepada anak-anak terbabit dan sebagai tanda penghargaan pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ke atas kejayaan mereka dalam peperiksaan lalu.

Oleh: YULPISMAN ASLI

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum