Click here to download freeware

PENDIDIKAN

Utusan Malaysia 09 Jun 2001

UM siasat dalang terbit Varsiti 2001

KUALA LUMPUR 8 Jun - Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar, Universiti Malaya (UM), Prof. Datuk Dr. Hashim Yaacob berkata, pihaknya akan meneruskan siasatan untuk mengesan warga universiti itu yang mungkin terlibat mendalangi penerbitan majalah Varsiti 2001.

Langkah itu, tegasnya, perlu bagi membersihkan nama universiti serta Majlis Perwakilan Mahasiswa UM (MPMUM) yang tercemar ekoran pengedaran majalah palsu itu.

Menurut beliau, sehingga kini pihaknya masih belum mengetahui siapa sebenarnya yang terlibat dalam menerbit dan mengedarkan majalah tersebut secara haram.

Katanya, ini berikutan universiti dan persatuan induk pelajar UM itu tidak terbabit langsung dalam penerbitan majalah yang mempunyai banyak artikel berunsur fitnah dan cacian terhadap pemimpin negara itu.

``Kandungan majalah ini banyak yang mengarut serta memburuk-burukkan orang lain.

``MPMUM sendiri tak setuju dengan bahan penerbitan sebegini,'' katanya kepada Utusan ketika ditemui di sini hari ini.

Beliau mengulas pengedaran majalah itu yang mengandungi artikel dan gambar mencemuh serta menghina pemimpin negara.

Selain diedarkan di sekitar kampus, beberapa individu yang menerima majalah itu turut terkejut dengan isi kandungan Varsiti 2001 yang menonjolkan imej pemimpin negara dalam keadaan memalukan serta hina.

Semalam, Naib Canselor UM, Prof. Datuk Dr. Anuar Zaini Mohd. Zain tidak menolak kemungkinan majalah tersebut diterbitkan secara haram oleh pelajar universiti itu sendiri.

Dr. Hashim berkata, bagaimanapun wakil MPMUM yang menemuinya semalam menafikan pembabitan mereka dalam penerbitan majalah tersebut.

Kulit depan majalah Varsiti 2001 yang didakwa versi palsu itu memaparkan logo PMUM manakala halaman empatnya menyatakan Biro Penerangan dan Penerbitan MPMUM bertindak sebagai penerbit.

Bagi Dr. Hashim, pihak universiti tidak menolak kemungkinan pengedaran majalah itu berniat jahat terhadap pihak-pihak tertentu.

```Niat jahatlah saya rasa sebab banyak fitnah dalam majalah ini. Niatnya untuk memburuk-buruk serta fitnahkan orang.

``Oleh sebab itu, UM dan MPMUM tidak boleh dikaitkan, dipertanggungjawabkan atau disalahkan dengan penerbitan bahan ini,'' katanya.

Justeru, beliau berpendapat Bahagian Hal Ehwal Pelajar UM tidak wajar dipersalah atau dipertanggungjawabkan berhubung penerbitan majalah palsu itu.

``Soal kita terlepas pandang menyemak bahan majalah tersebut tidak timbul langsung,'' katanya.

Dr. Hashim berkata, bahagian itu biasanya mengawasi dengan baik penerbitan majalah universiti bagi mengelak sebarang kontroversi, sambil mengesahkan Varsiti 2001 yang sebenarnya masih belum diterbitkan lagi.

Ditanya tindakan UM selepas ini, beliau berkata, pihaknya akan meminta semua pihak yang menerima majalah itu agar menghantarnya kepada pegawai Hal Ehwal Pelajar UM.

Mengulas kenyataan Ketua Pemuda Pas, Mahfuz Omar hari ini yang mendakwa UMNO mungkin terlibat dalam penerbitan majalah itu bertujuan untuk mempengaruhi pilihan raya kampus UM pada hujung tahun ini, Dr. Hashim berkata:

``Itu suka hati dialah nak buat kenyataan. Ia (majalah) tak ada kaitan (dengan pilihan raya kampus).''

Oleh: AKMAR HISHAM MOKHLES dan MARHAINI KAMARUDDIN

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum