Click here to download freeware

PENDIDIKAN

Utusan Malaysia 10 Jun 2001

PM gesa pelajar kuasai ilmu -- Apabila pulang mereka boleh ambil alih bidang perniagaan dan kepimpinan

TOKYO 9 Jun - Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad menggesa para pelajar Malaysia di luar negara menguasai ilmu dan kecekapan bagi membolehkan mereka mengambil alih bidang perniagaan dan kepimpinan untuk meneruskan kesinambungan menjadikan Malaysia negara maju.

Menurut Perdana Menteri, mereka harus membuat persediaan itu supaya apabila pulang ke Malaysia, mereka dapat menggantikan generasi terdahulu yang sudah menyediakan pelbagai kemudahan termasuk peluang pendidikan di luar negara untuk mereka.

``Kalau ada semangat dedikasi dan azam untuk berlumba-lumba menguasai segala ilmu kecekapan, kita akan dapat membangunkan negara seperti negara-negara maju biarpun berdepan dengan apa cabaran sekalipun,'' katanya semasa berucap pada perjumpaan dengan pelajar-pelajar Malaysia di Jepun di sini malam ini.

Hadir sama pada perjumpaan yang diadakan di Kedutaan Besar Malaysia itu ialah isteri beliau, Datin Seri Dr Siti Hasmah Mohd Ali dan Duta Besar, Datuk Marzuki Mohammad Noor.

Perdana Menteri yang dalam rangka lawatan ke Jepun (hari terakhirnya hari ini) berkata, Jepun telah membuktikan bagaimana mereka dapat bangkit sehingga muncul sebagai kuasa ekonomi kedua di dunia walaupun negara mereka hancur selepas Perang Dunia Kedua.

Katanya, hanya dengan bergajikan `segenggam nasi'', masyarakat Jepun bekerja dengan kuat dan telah menunjukkan kepada dunia Barat, bahawa mereka juga boleh berjaya termasuk dalam menghasilkan barang-barang berkualiti tinggi yang dulunya dikuasai negara Barat.

Dr. Mahathir yang mengimbau kembali semasa kedatangan kali pertamanya ke Jepun pada tahun 1961 berkata, Jepun hari ini sudah membuktikan bahawa mereka boleh bersaing dan menang dengan orang Barat yang dulu pada orang lain tidak boleh ditandingi.

``Dulu kita tidak percaya orang lain boleh buat seperti orang kulit putih tetapi apabila saya melihat orang Jepun boleh melakukannya, ketika itu timbul keyakinan bahawa kita juga boleh buat asalkan kita yakin boleh, kita boleh,'' katanya.

Perdana Menteri berkata, kerajaan telah mengeluarkan perbelanjaan yang banyak menghantar para pelajar ke mana-mana negara untuk menuntut ilmu kerana pengalaman beliau dan rakan-rakan lain betapa susahnya menuntut ilmu pada masa lalu.

``Oleh itu saya yakin generasi hari ini akan meneruskan usaha yang telah diperjuangkan oleh pemimpin-pemimpin seperti Datuk Onn Jaafar, Tunku Abdul Rahman, Tun Razak, Tun Hussein, Tun Dr. Ismail dan sebagainya.

``Kita menaruh harapan besar apabila saudara saudari balik ke Malaysia, berusahalah menggunakan ilmu yang dipelajari di Jepun untuk membangunkan negara. Bukan sahaja ilmu tetapi etika kerja Jepun yang baik juga amat penting untuk diri dan negara,'' katanya.

Sehubungan dengan itu juga, beliau turut mengingatkan pelajar-pelajar supaya menguasai bahasa Inggeris walaupun mereka yang belajar di Jepun mampu menguasai bahasa negara matahari terbit itu.

``Saya nak minta supaya saudara saudari semua cuba belajar bahasa Inggeris sama. Kita sudah memasuki zaman teknologi maklumat yang memerlukan sesuatu yang kita ingin kuasai dengan penguasaan bahasa Inggeri. Banyak informasi datang dalam bahasa Inggeris,'' katanya.

Sementara itu ketika menjawab soalan para pelajar pada majlis dialog itu, Dr. Mahathir antara lain menjelaskan bahawa, negara maju yang diinginkannya adalah sebuah negara yang dapat membangun dengan tenaga rakyatnya yang berilmu dan cekap, sebuah negara aman yang rakyat pelbagai kaum dapat hidup dan bekerja bersama tanpa melupakan nilai-nilai moral yang ada.

Beliau juga menjelaskan, Koridor Raya Multimedia (MSC) dan Cyberjaya telah mendapat sokongan kuat daripada para pelabur terutama syarikat-syarikat bertaraf dunia walaupun banyak pihak mahu memperkecilkan atau memburukkan usaha Malaysia itu.

Dr. Mahathir berkata, Malaysia sebenarnya sudah menjadi sebuah negara membangun yang maju berbanding negara-negara lain yang sama usia kemerdekaan termasuklah negara-negara jiran dalam ASEAN.

Daripada: HASSAN MOHD. NOOR

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum