Click here to download freeware

PENDIDIKAN

Utusan Malaysia 10 Jun 2001

Abdullah sifatkan majalah Varsiti 2001 tidak ada kelas

KUCHING 9 Jun - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini berkata majalah Varsiti 2001 terbitan Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya (MPMUM) sebagai majalah yang tidak mempunyai kelas.

Timbalan Perdana Menteri berkata beliau merasa sedih kerana majalah seperti itu boleh diterbitkan oleh universiti tertua dan sering dikatakan sebagai universiti terbaik di negara ini.

``Tak ada kelas langsung, kalau nak ada artikel ilmiah yang sesuai untuk dibaca oleh pelajar pun tak ada,'' katanya kepada pemberita di sini.

Abdullah yang mengakhiri lawatan dua hari ke Sarawak berkata demikian ketika diminta pandangan mengenai majalah Varsiti 2001 keluaran terbarunya yang mengandungi artikel dan gambar yang mencemuh serta menghina para pemimpin negara.

Abdullah berkata rencana politik yang dimuatkan dalam majalah itupun tidak berupa artikel ilmiah tetapi lebih berbentuk mengata dan menghina para pemimpin negara.

``Sedangkan di luar majalah ada disebut pelajar bergerak untuk kecemerlangan...saya ingat itu bukan satu bentuk kecemerlangan...itu melambangkan sikap yang amat tidak baik sekali,'' katanya.

Mengenai sikap para pemimpin MPMUM yang tidak mahu bertanggungjawab mengenai penerbitan majalah itu, Abdullah berkata ini sikap seorang pengecut.

``Pemimpin mereka kata, mereka tak bertanggungjawab... entahlah ini macam lempar batu sembunyi tangan nampaknya,'' katanya.

Mengenai tindakan ke atas pelajar yang terbabit, Abdullah berkata pihak universiti lebih tahu apa yang perlu dilakukan.

``Pihak universiti lebih tahu tindakan apa yang patut diambil kerana tiap kali ada angkara, mereka juga yang menganggotai, memegang jawatan dalam parti politik ... ini adalah melanggar peraturan dan undang-undang yang ada dalam Akta Universiti dan Kolej Universiti,'' katanya

Mengenai pilihan raya kecil Likas, Abdullah berkata Barisan Nasional tidak ada pilihan tetapi terpaksa bersedia untuk menghadapinya.

Kerusi Dewan Undangan Negeri Sabah itu kosong ekoran keputusan Mahkamah Tinggi membatalkan keputusan pilihan raya 1999 kerana terdapat pengundi hantu dalam daftar pemilih kawasan tersebut.

``Saya tidak mahu persoalkan bagaimana keputusan itu dibuat tetapi itu sudah menjadi keputusan mahkamah, dan biasanya kita mengiktiraf, mengakui apa juga keputusan mahkamah, kita tidak boleh buat rayuan,'' katanya.

Abdullah berkata masalah pengundi hantu adalah satu masalah yang perlu diberi perhatian oleh Suruhanjaya Pilihan Raya.

Mengenai pilihan raya negeri Sarawak, Abdullah berkata setakat ini Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud belum memberikan sebarang tanda-tanda kepadanya bila ia akan diadakan. - Bernama

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum