Click here to download freeware

PENDIDIKAN

Utusan Malaysia 10 Jun 2001

GPMS minta polis jalankan siasatan segera

KUALA TERENGGANU 9 Jun - Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) meminta polis menjalankan siasatan segera bagi mengenal pasti pihak yang terbabit dalam penerbitan majalah Varsiti 2001 yang artikelnya penuh dengan kritikan dan cacian terhadap pemimpin negara.

Setiausaha Agungnya, Syed Anuar Syed Mohamad berkata, siasatan itu wajar dilakukan apabila Presiden Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya (MPMUM) Mohd. Fuad Mohd. Ikhwan telah membuat laporan polis kerana mendakwa majalah itu diterbitkan secara palsu.

Beliau turut meminta pendaftar pertubuhan supaya menjalankan siasatan terperinci status Gabungan Mahasiswa Islam Semenanjung (Gamis) yang banyak dibabitkan dalam majalah tersebut.

``Kita kesal dengan pengedaran majalah tidak bertanggungjawab seperti itu dan meminta supaya polis segera menjalankan siasatan bagi mengenal pasti pihak yang menerbitkannya.

``GPMS tidak mahu imej pelajar terutama pelajar universiti terjejas dengan sikap dan perbuatan segelintir pelajar lain yang jelas tidak mencerminkan keperibadian yang baik,'' katanya kepada Mingguan.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan Utusan semalam mengenai pengedaran majalah tersebut yang isu kandungannya dimuatkan dengan laporan politik kebencian termasuk yang dipetik daripada laman web reformasi.

Naib Canselor UM, Prof. Datuk Dr. Anuar Zaini Mohd. Zain yang turut menerima majalah itu tidak menolak kemungkinan ia diterbitkan oleh pelajar universiti itu sendiri.

Mengulas lanjut, Syed Anuar percaya tindakan tersebut adalah bertujuan menonjolkan bahawa golongan mahasiswa kononnya tidak bersetuju dengan kerajaan hari ini.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum