Click here to download freeware

PENDIDIKAN

Utusan Malaysia 13 Jun 2001

Universiti RM700j dibina di Perlis

KANGAR 12 Jun - Sebuah universiti baru bernilai kira-kira RM700 juta yang akan dibina di negeri ini tidak lama lagi menawarkan kursus-kursus bercorak teknikal.

Menteri Pendidikan, Tan Sri Musa Mohamed berkata, universiti teknikal itu merupakan yang ketiga di negara ini selepas di Melaka dan Johor.

Menurutnya, antara kursus yang ditawarkan di universiti pertama di negeri ini ialah kejuruteraan aeroangkasa, mekanik, elektronik dan komputer.

Katanya, pengajian di universiti tersebut menumpukan 60 peratus kepada kemahiran manakala 40 peratus lagi akademik.

``Kerajaan percaya pelajar-pelajar yang menamatkan pengajian di universiti teknikal itu dapat menampung keperluan tenaga kerja berkemahiran tinggi di negara ini,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Menteri Besar, Datuk Seri Shahidan Kassim di pejabat Menteri Besar, di sini, hari ini.

Sempena lawatan ke Perlis, Menteri Pendidikan itu juga menghadiri majlis perjumpaan dan dialog dengan pemimpin-pemimpin UMNO negeri di Dewan Warisan.

Musa berkata, pembinaan universiti yang akan dapat menampung lebih 5,000 pelajar itu akan dimulakan pada tahun ini setelah kerajaan negeri mengenal pasti tapak yang sesuai.

Menurutnya, pengambilan pelajar pertama sebanyak 300 orang bermula apabila universiti itu siap pada tahun depan.

Tambahnya, kerajaan mungkin membuka tawaran mengikuti pengajian di universiti itu kepada pelajar luar negara.

Bagaimanapun, beliau tidak mengumumkan nama penuh universiti tersebut.

``Kerajaan negeri telah mencadangkan empat tapak bagi pembinaan universiti tersebut iaitu Pauh, Timah Tasoh, Kuala Perlis dan Padang Besar,'' ujarnya.

Musa memberitahu, tapak yang sesuai bagi pembinaan universiti teknikal ialah berdekatan dengan kawasan industri, perumahan, mempunyai sumber tempatan berkaitan dengan kursus, keluasan tanah yang mencukupi dan kawasan berbukit bukau.

Sementara itu, Shahidan berkata, kerajaan negeri akan memutuskan tapak pembinaan universiti itu pada mesyuarat Exco esok.

Dalam pada itu, katanya, kerajaan negeri juga telah memohon kepada Kementerian Pendidikan untuk membina sebuah institut penyelidikan perubatan cawangan Universiti Sains Malaysia (USM) dan sebuah sekolah sukan.

Menurutnya, tapak pembinaan institut penyelidikan perubatan itu telah disediakan di kawasan sekitar Taman Herba, Sungai Batu Pahat di sini.

``Kawasan tersebut sesuai dibangunkan institut penyelidikan perubatan memandangkan taman herba tersebut mempunyai banyak pokok-pokok herba dan ubatan untuk dijadikan ubat,'' katanya.

Oleh: ZAID MOHD. NOOR

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum