Click here to download freeware

PENDIDIKAN

Utusan Malaysia 15 Jun 2001

MPMUM akui ada Exconya cetus provokasi

KUALA LUMPUR 14 Jun - Majlis Perwakilan Mahawiswa Universiti Malaya (MPMUM) mengakui seorang pemimpinnya berucap dengan menuduh terdapat segelintir mahasiswa menjadi ejen yang didalangi oleh UMNO dan Barisan Nasional untuk memecahbelahkan pelajarnya.

Presidennya, Mohd. Fuad Mohd. Ikhwan mendakwa, ucapan itu dilakukan oleh Exco MPMUM berkenaan kerana kononnya terdapat provokasi daripada pihak tertentu sewaktu keadaan kelam-kabut semasa pendaftaran kursus elektif di situ akhir bulan lalu.

``Setelah dikenal pasti, kita dapati mereka yang melakukan provokasi itu ialah calon yang tewas semasa pilihan raya kampus baru-baru ini,'' katanya kepada Utusan di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas surat pembaca kiriman Wong Seng Meng dari Petaling Jaya dalam ruangan Forum Utusan Malaysia hari ini.

Dalam surat tersebut, Wong mempertikaikan kewibawaan MPMUM dengan mendakwa tidak melaksanakan tanggungjawab sewaktu kekecohan pelajar semasa proses pendaftaran kursus elektif di kampus itu baru-baru ini.

Beliau juga mempertikaikan ucapan pemimpin majlis itu yang tidak relevan sewaktu keadaan kelam-kabut itu yang mengaitkan UMNO dan BN sebagai punca masalah ekoran suasana tidak terkawal ketika itu.

Mengulas lanjut Mohd. Fuad berkata, beliau sangat kecewa dengan beberapa individu yang disifatkan cuba `menangguk di air keruh' di waktu yang tegang ketika itu.

``Mereka cuba mencemar nama baik MPMUM sebagai tidak bertanggungjawab sedangkan kehadiran kami ke tempat pendaftaran itu untuk memantau dan membantu bukan sebagai urus setia,'' ujarnya.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum