Make your own free website on Tripod.com
Click here to download freeware

PENDIDIKAN

Berita Harian 21 mac 2001

Musa enggan temui ibu bapa murid SJKC Damansara


KUALA LUMPUR, Rabu – Menteri Pendidikan, Tan Sri Musa Mohamad, tidak akan menemui ibu bapa 67 murid Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Damansara yang enggan memindahkan anak mereka ke sekolah baru.

“Saya tidak akan berjumpa dengan mereka. Tambahan pula, murid berkenaan tidak lagi dianggap sebagai murid SJKC Damansara,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Kementerian Pendidikan di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas desas desus kononnya ibu bapa murid berkenaan, yang membentuk jawatankuasa ‘Selamatkan Sekolah Kita’, akan ke Parlimen esok untuk berjumpa dengannya.

Mengenai dakwaan ibu bapa berkenaan bahawa anak mereka masih lagi murid SJKC Damansara kerana tidak menerima sebarang surat rasmi yang menyatakan sebaliknya, Musa berkata:

“Itu mungkin apa yang mereka fikirkan. Tetapi mereka bukan lagi murid sekolah itu.”

Sementara itu, Presiden MCA, Datuk Seri Dr Ling Liong Sik, menasihatkan ibu bapa murid terbabit supaya tidak mengorbankan pendidikan anak mereka semata-mata untuk mempertahankan pendirian berhubung isu perpindahan sekolah itu ke SJKC Puay Chai 2.

Katanya, murid terbabit tidak bersalah dan memerlukan pendidikan serta sekolah yang sempurna.

“MCA akan membantu hingga masalah mendaftarkan semula anak mereka di sekolah baru itu selesai demi masa depan mereka. Saya merayu ibu bapa supaya tidak mengabaikan pendidikan anak mereka dengan isu perpindahan itu,” katanya.

Isu SJKC Damansara timbul awal tahun ini apabila segelintir ibu bapa membantah sekolah itu dipindahkan sementara ke SJKC Puay Chai 2 atas pelbagai alasan termasuk kos pengangkutan yang tinggi.

Murid SJKC Damansara ditempatkan di SJKC Puay Chai 2 sementara sekolah baru berdekatan Tropicana Country Golf Club, siap pada 2003. Perpindahan itu dibuat atas permintaan dan persetujuan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta Lembaga Pengurus dan Guru Besar SJKC Damansara.

Bagaimanapun ibu bapa 67 murid yang enggan berpindah ke sekolah sementara di SJKC Puay Chai 2, menuntut supaya bangunan lama dibuka semula.

Berikutan itu juga Jawatankuasa Mempertahanan Sekolah Asal SJKC Damansara, menyediakan lima kontena untuk membolehkan 67 murid itu belajar dan 14 individu dilantik untuk mengendalikan kelas berkenaan.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum