Click here to download freeware

PENDIDIKAN

Utusan Malaysia 16 Jun 2001

Kerajaan akan ambil alih kurikulum tadika

KUALA LUMPUR 15 Jun - Kerajaan akan mengambil alih kurikulum tadika di seluruh negara dalam usaha memperkenalkan sistem pembelajaran yang seragam sedikit masa lagi.

Pengambilalihan itu juga membolehkan kementerian membuat pemantauan terhadap sekolah-sekolah tadika yang banyak diusahakan oleh sektor swasta dan juga kerajaan.

Buat masa ini, tadika Kemas adalah di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Kementerian Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat.

Timbalan Menteri Pendidikan, Senator Datuk Aziz Shamsudin berkata, usaha itu akan dilakukan secara berperingkat-peringkat setelah meneliti kesannya sebelum diperluaskan ke tadika swasta.

Katanya, tadika yang berdaftar termasuk Kemas telah pun menggunakan kurikulum yang disediakan oleh kementerian.

Jelasnya, langkah penyeragaman itu bertujuan mengelak berlakunya penyelewengan.

Aziz berkata, ini kerana terdapat tadika yang mengajar kanak-kanak supaya membenci pemimpin dengan memijak dan meludah gambar pemimpin terbabit.

Menurut beliau, tindakan itu dilakukan semata-mata untuk mendapatkan kuasa memimpin negara.

``Satu hari nanti kita akan ambil alih semua tadika atas kepentingan generasi muda yang hendak membangun.

``Jika tidak gerakkan perpaduan, orang akan menyimpang, yang mana kita mahu mengelaknya dari berlaku,'' katanya kepada pemberita pada sesi dialog dengan 30 anggota Persatuan Warga Barisan Melayu Muda Malaysia (Wawasan) di pejabatnya di sini, hari ini.

Aziz berkata, langkah itu diambil kerana terlalu banyak tadika yang tumbuh di kawasan taman-taman perumahan dan tiada pemantauan dibuat ke atas mereka.

Bagaimanapun, beliau mengakui terdapat tadika swasta yang dikendalikan oleh kaum bukan Melayu menunjukkan mutu pengajaran yang tinggi.

``Kita akan mengkaji kesannya kerana tidak mahu memusnahkan tadika yang baik dengan melenyapkan kewujudan mereka semata-mata kerana hendak membuat keputusan,'' tambahnya.

Aziz berkata, penyeragaman kurikulum itu dapat dilaksanakan dengan cepat melalui Pengarah pengajian swasta.

Katanya, hari ini terdapat banyak tadika yang tumbuh di taman-taman perumahan dan tiada pemantauan dibuat ke atas mereka.

``Tadika yang telus dan berdaftar dengan kita tidak mempunyai masalah dan guru-gurunya juga adalah berkelayakan,'' jelasnya.

Terdahulu, Timbalan Presiden Wawasan, Haidi Mohd. Ali menyerahkan laporan Kaji Selidik Program Pemantapan Bahasa Inggeris pelajar luar bandar kepada Aziz.

Antara rumusan kaji selidik itu ialah kelemahan ketara pelajar luar bandar dalam penguasaan bahasa Inggeris dan kekurangan guru subjek itu.

Fasa pertama kajian itu dijalankan di empat buah sekolah di Kedah dan Pahang manakala fasa kedua yang akan bermula hujung bulan ini diadakan di dua buah sekolah di Selangor.

Oleh: MOHAMAD RADZI MOHD. ZIN

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum