Click here to download freeware

PENDIDIKAN

Utusan Malaysia 25 Jun 2001

Akauntan profesional: Pelajar Melayu bertanggapan lapuk

Oleh Marzita Abdullah
SEBAHAGIAN besar pelajar Melayu di institusi pengajian tinggi (IPT) yang mengikuti program perakaunan masih mempunyai tanggapan lapuk untuk menjadi seorang akauntan profesional.

Mereka menyifatkan untuk mendapat pengiktirafan sedemikian adalah terlalu rumit kerana terpaksa melalui kursus dan peperiksaan profesional yang dianggap terlalu sukar untuk lulus.

Justeru menurut Ketua Hal Ehwal Malaysia Persatuan Akauntan-akauntan Bertauliah (ACCA) Nik Roseli Mahmood, sehingga kini jumlah akauntan profesional Melayu yang berdaftar dengan Institut Akauntan Malaysia hanya 12 peratus sahaja.

``Manakala jumlah graduan Melayu yang berdaftar dengan ACCA sehingga kini hanyalah sembilan peratus,'' katanya.

Ini sekali gus menyukarkan sasaran 65,000 akauntan tempatan menjelang tahun 2020 sedangkan pada masa ini jumlah akauntan yang berdaftar hanyalah 15,000 orang.

Secara umumnya menurut beliau graduan Melayu masih tidak menyedari keistimewaan dan kelebihan menjadi seorang akauntan.

``Hakikatnya dalam setiap syarikat, akauntan adalah orang kedua penting kerana mereka banyak membuat keputusan penting,'' jelasnya.

Antara faktor lain yang menyebabkan graduan Melayu tidak berminat mendapat pengiktarafan sedemikian ialah tiada galakan daripada keluarga.

Selain itu masalah kewangan juga merupakan salah satu faktor menyebabkan mereka tidak berminat mengikuti kursus-kursus profesional itu.

Menurut Nik, daripada jumlah sembilan peratus graduan ACCA kebanyakan mereka mengetahui kelebihan mendapat pengiktirafan tersebut.

``Mereka juga yakin bahawa peperiksaan ACCA tidaklah sukar malah ia sama seperti peperiksaan-peperiksaan di IPT,'' ujar beliau.

Dalam pada itu katanya, kebanyakan pelajar Melayu hanya berminat untuk me-ngikuti kursus profesional itu apabila tamat pengajian tinggi.

``Sedangkan kursus tersebut juga ditawarkan bagi lulusan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) dan ini bermakna seseorang itu boleh menjadi akauntan profesional dalam usia yang muda,'' katanya.

Namun hakikat itu hanya disedari oleh sebahagian besar pelajar Cina sahaja.

ACCA yang ditubuhkan di London pada 1904 merupakan pertubuhan antarabangsa yang menyediakan kelayakan perakaunan profesional.

Sukatan pelajaran yang disediakan oleh ACCA diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai asas perakaunan profesional di peringkat antarabangsa.

ACCA beroperasi di 165 negara selain mempunyai seramai 300,000 pelajar dan ahli-ahli berdaftar menjadikannya sebagai pertubuhan perakaunan profesional terbesar di dunia.

Pengiktirafan PBB terhadap ACCA membolehkan ahli-ahlinya mendapat kelayakan yang diiktiraf di seluruh dunia dan membolehkan mereka menikmati `profesional mobility'.

Di negara ini, terdapat 60 kolej yang menyediakan kursus ACCA termasuk Yayasan Pelajaran Mara (YPM) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Untuk mengikuti kursus profesional ACCA, pelajar lulusan SPM perlu lulus Matematik dan Bahasa Inggeris serta mengambil 14 subjek ACCA dalam tempoh tiga tahun.

Graduan diploma perakaunan perlu mengambil 10 subjek dalam tempoh dua tahun setengah manakala graduan perakaunan yang memiliki ijazah pertama perakaunan perlu mengambil enam subjek dalam tempoh 18 bulan.

Namun begitu katanya, taraf seorang akauntan profesional dilihat pada kursus profesional yang diikuti dan bukannya kelulusan taraf pengajian seseorang.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum