Click here to download freeware

PENDIDIKAN

Utusan Malaysia 08 Mei 2001

Kelonggaran bukan mutlak -- Cadangan PM pengisian kekosongan kuota pelajar bumiputera di IPTA

SINTOK 7 Mei - Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad berkata, cadangan membuka kuota pelajar bumiputera yang gagal dipenuhkan di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) kepada bukan bumiputera bukanlah bersifat mutlak.

Perdana Menteri menjelaskan, penghapusan kuota tersebut tidak akan dilakukan kerana ia merupakan hak istimewa yang telah diberi dan dipersetujui oleh semua kaum di negara ini selepas mencapai kemerdekaan.

Menurut beliau, jika ia ditarik balik, golongan bumiputera yang ketinggalan dan didiskriminasi pada zaman penjajahan akan terus ketinggalan.

Dr. Mahathir berkata, pembukaan kuota itu hanya dilakukan untuk sesi pengambilan tahun ini berdasarkan kekurangan semasa.

Menurutnya, kuota yang telah diperuntukkan kepada para pelajar bumiputera untuk memasuki IPTA pada tahun-tahun seterusnya tidak terjejas dan masih terbuka.

``Tahun depan ada banyak kuota lagi. Tahun ini kita bagi kepada siapa yang boleh isi.

``Tahun depan banyak juga kuota...kalau (pelajar bumiputera) berminat, kita bagi,'' katanya pada sidang akhbar selepas majlis perjumpaan dengan peserta Konvensyen Majlis Perwakilan Pelajar IPTA di Universiti Utara Malaysia, dekat sini petang ini.

Semalam Perdana Menteri ketika menjawab pertanyaan pemberita menyatakan bahawa kerajaan mungkin membuka kuota bagi pelajar bumiputera yang gagal diisi di IPTA untuk dipenuhi oleh pelajar bukan bumiputera.

Dr. Mahathir dalam kenyataan itu memberitahu, tindakan tersebut mungkin dilakukan kerana pelajar bumiputera telah diberikan peluang untuk mengisinya, tetapi mereka seolah-olah tidak berminat untuk mengambil peluang itu.

Ketika ditanya lebih lanjut, Perdana Menteri menjelaskan, kuota yang kosong itu perlu diisi memandangkan kemudahan bagi jumlah pelajar yang dikehendaki di IPTA sudah disediakan.

Sehubungan itu, ujarnya, kekosongan tersebut hendaklah diisi oleh mereka yang berminat, tetapi ia tidak bermakna menutup sepenuhnya peluang untuk pelajar bumiputera.

``Kita bagi peluang jika mereka masih berminat, walaupun kita terpaksa beri pendidikan lebih seperti yang kita sudah berikan,'' kata beliau.

Menjawab satu soalan, beliau berkata kerajaan menyedari dan menerima kenyataan mengenai kelemahan tertentu yang wujud di kalangan bumiputera, dengan sebab itulah peruntukan khas dalam bidang tertentu harus diberikan kepada mereka.

Katanya, ``jika kita mengamalkan prinsip yang lemah disingkirkan, kita akan dapati mereka yang tidak bernasib baik akan semakin jauh ketinggalan kerana mereka tidak mempunyai peluang untuk memperbaiki diri bagi mengejar mereka yang telah ke hadapan. ''

Prinsip memberi perhatian khas dalam beberapa bidang kepada bumiputera telah diterima pakai semasa mencapai kemerdekaan, katanya.

"Kita mempunyai peruntukan khas terhadap bumiputera kerana mereka telah didiskriminasi semasa zaman penjajahan, kerana penjajah tidak memberi mereka peluang untuk memajukan diri... dan untuk membetulkannya kembali kita perlu melakukan langkah khas yang dipanggil affirmative action," katanya.

Bagaimanapun Dr. Mahathir berkata, masih terlalu awal untuk membuat kesimpulan kerana angka sebenar dan maklumat terperinci mengenainya masih belum diketahui.

Mengenai cadangan pihak tertentu agar tingkatan enam dimansuhkan, Dr. Mahathir berkata beliau tidak mempunyai maklumat lanjut atas alasan apa cadangan itu dibuat.

Bagaimanapun, katanya, bila ada cadangan seperti itu, kerajaan perlu mengkajinya.

Sementara itu ketika menjawab soalan berhubung majlis dialog dengan para pemimpin Majlis Perwakilan Pelajar IPTA, Perdana Menteri berkata, ia merupakan pertemuan positif.

Menurut Dr. Mahathir, kerajaan juga perlu menerima pendapat generasi muda yang pastinya berbeza dengan para pemimpin sekarang.

``Ada pendapat yang tidak berbeza banyak dari kerajaan, ada sedikit kekeliruan, sebab itu mereka mengemukakan soalan.

``Sebab itu kerajaan perlu terima pendapat generasi muda tetap berbeza dengan generasi sekarang dan mereka juga bila mereka tua akan dapati generasi muda tidak bersetuju juga,'' jelasnya.

Seramai 211 anggota jawatankuasa Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) menghadiri konvensyen MPP-IPTA yang bermula pada Sabtu dan berakhir hari ini.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum