Click here to download freeware

PENDIDIKAN

Utusan Malaysia 25 Jun 2001

Membaca buku Inggeris bersaiz besar

Oleh ARSHAD KHAN
MEMBACA teks yang font hurufnya bersaiz besar mungkin lebih berkesan berbanding saiz konvensional.

Sebuah syarikat bumiputera yang mengusahakan perniagaan penerbitan dan pengedaran buku, telah memperkenalkan koleksi buku besar bahasa Inggeris atau `Big Book' bersaiz 45 hingga 50 sentimeter sebagai bahan bacaan kanak-kanak berusia empat hingga 11 tahun.

Untuk menambah daya tarikannya, buku berkenaan dipenuhi lakaran pelbagai gambar yang selari dengan jalan ceritanya.

Kata pengarangnya, Sheikh Mansor Sheikh Ahmad, buku besar itu adalah pendekatan yang paling sesuai untuk `menjinakkan' kanak-kanak membaca, khasnya dalam bahasa Inggeris.

``Ciri utama buku tersebut selain daripada gambar-gambar yang menarik , ialah ia tidak mempunyai terlalu banyak perkataan yang susah atau baru.

``Selain itu, setiap buku mempunyai jalan cerita yang mudah untuk difahami oleh pembaca kanak-kanak,'' jelasnya ketika ditemui di pejabatnya di Petaling Jaya baru-baru ini.

Menurut beliau, kaedah menggunakan buku besar itu ialah ia dibaca dengan kuat oleh guru atau ibu bapa untuk dihayati oleh kanak-kanak.

``Dengan plot cerita yang mudah dan gambar-gambar yang bersaiz besar serta berwarna-warni, kanak-kanak akan tertarik untuk membaca buku tersebut.

``Dan bila minat mereka ini timbul, kita boleh berikan buku versi yang sama tetapi bersaiz kecil seperti buku biasa untuk mereka baca, ini akan membentuk minat untuk terus membaca buku lain,'' jelasnya.

Beliau juga berharap agar pengunaan buku tersebut diperluaskan ke segenap sekolah di negara ini sepertimana di luar negara.

``Pengunaan kaedah buku besar bukanlah sesuatu yang baru di negara ini namun penggunanya tidak kelihatan meluas seperti di sekolah-sekolah di negara-negara Barat.

``Dan kejayaan yang ditunjukkan di sekolah-sekolah tersebut (di Barat) adalah amat memberangsangkan,'' ujarnya.

Menurut beliau, setakat ini tiga tajuk cerita telah diterbitkan oleh syarikatnya iaitu The Naughty Monkey, (Monyet Yang Nakal), Just Like Me (Seperti Saya) dan Where is Kitty (Di Mana Kitty).

Kesemua buku itu boleh didapati dalam bentuk pakej yang terdiri daripada tiga buku besar (untuk tiga tajuk) dan 18 buku kecil yang terdiri daripada enam buah buku untuk setiap tajuk dan dijual pada harga RM340.

Kepada ibu-bapa, guru-guru atau sesiapa sahaja yang berminat untuk mendapatkan buku ini bolehlah mendapatkannya melalui Kreatif Kembara Sdn. Bhd. 11 (tingkat satu), Jalan Mewah SS 22/11 Damansara Jaya, Petaling Jaya atau menelefon nombor 03-7728 4400 atau 7726 9431.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum