Click here to download freeware

PENDIDIKAN

Utusan Malaysia 27 Jun 2001

GPMS gesa pantau aktiviti Hamas di UIA

KUALA LUMPUR 26 Jun - Gabungan Pelajar Semenanjung Malaysia (GPMS) menggesa Universiti Islam Antarabangsa memantau kegiatan sebuah persatuan pelajar yang menggelar diri mereka sebagai Himpunan Mahasiswa Islam Selangor (Hamas).

Presidennya, Datuk Suhaimi Ibrahim memberitahu Utusan, berdasarkan maklumat, persatuan itu bergiat aktif untuk meracuni pemikiran pelajar baru supaya memusuhi kerajaan.

Kata beliau, melalui borang Taaruf yang diedarkan oleh pertubuhan itu kepada para pelajar, ia mengandungi beberapa soalan yang tidak sewajarnya dikemukakan kepada pelajar-pelajar baru.

Antara soalan tersebut ialah pandangan pelajar terhadap tokoh seperti Anwar Ibrahim dan Abd. Hadi Awang selain tokoh seperti Hasan Al-Banna dan Abu Urwah.

Para pelajar juga perlu mengisi nama tokoh yang dihormati dan sebab-sebab memilih tokoh tersebut.

Selain borang tersebut yang meminta para pelajar mengisi butir-butir peribadi, pelajar juga menerima borang keahlian/kaji selidik pertubuhan itu.

Pada setiap borang itu tertulis perkataan dipercayai slogan pertubuhan itu iaitu We Unite For Islam dan perkataan `Tanggungjawab Itu Amanah Daripada Allah'.

Utusan turut menerima contoh borang berkenaan daripada seorang pembaca yang mendakwa menerimanya semasa melawat anak saudaranya di UIA.

Menurut pembaca tersebut, anak saudaranya baru menghabiskan sesi suai kenal di universiti itu dan pada malamnya Hamas telah mengadakan perjumpaan untuk mengajak para pelajar baru menyertai pertubuhan itu.

Dalam pada itu, Suhaimi menegaskan, tindakan pertubuhan itu adalah tidak bertanggungjawab dan cuba meracuni pemikiran pelajar-pelajar baru.

``Ini permainan halus pihak-pihak tertentu yang cuba mengambil kesempatan terhadap para pelajar baru dengan mengalihkan perhatian mereka terhadap tokoh-tokoh tersebut,'' katanya.

Tindakan itu juga seolah-olah memberi gambaran yang berat sebelah terhadap tokoh-tokoh pimpinan kerajaan sekarang.

Sepatutnya, menurut beliau, pelajar-pelajar baru harus didedahkan dengan perkara-perkara akademik semasa minggu suai kenal dan bukannya perkara yang melibatkan politik.

Sementara itu, Presiden Majlis Perwakilan Pelajar UIA, Ahmad Fadzli Yusof berkata, Hamas tidak tersenarai dalam pertubuhan yang berdaftar dengan pihaknya.

Malah, menurutnya, pertubuhan-pertubuhan yang bersifat kenegerian tidak dibenarkan beroperasi di universiti tersebut.

Beliau percaya kemungkinan perkara tersebut dilakukan oleh individu tertentu dan bergerak secara haram di UIA.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum