Make your own free website on Tripod.com
Click here to download freeware

PENDIDIKAN

Utusan Malaysia 28 mac 2001

Faedah pembelajaran koperatif dalam sistem penilaian

Pembelajaran Bistari
Bahagian 11
Oleh: DR. ISMAIL ZAIN
BEBERAPA elemen penting yang harus diambil kira dalam proses menstrukturkan pembelajaran koperatif adalah amat penting untuk meninggalkan kesan kepada pelajar-pelajar seperti mana yang telah dibincangkan dalam penulisan minggu lepas.

Pembelajaran koperatif antara lain adalah untuk memastikan terdapatnya saling bergantungan antara ahli secara positif, menggalakkan interaksi secara bersemuka, terdapatnya akuantabiliti kumpulan dan individu serta memastikan ia dapat membentuk kemahiran interpersonal.

Selanjutnya beberapa analisis perlu dilihat daripada aspek faedah pembelajaran koperatif ini terhadap keseluruhan sistem pembelajaran terutamanya dalam penilaian (rujuk http://www.clcrc.com untuk huraian lengkap).

Memperluaskan skop penilaian kreativiti pelajar

Penilaian dalam kumpulan mampu melihat sejauhmana setiap anggota dapat berinteraksi serta menggunakan pelbagai idea yang dicurahkan dengan lebih kritikal.

Di sini, prestasi yang ditunjukkan melalui kemahiran interpersonal, kemahiran berkomunikasi, aras pemikiran, keyakinan diri serta aras komitmen dapat dinilai dengan lebih adil dan tepat.

Penilaian bersama yang dilakukan secara tradisional lebih berbentuk penilaian yang hanya dibuat oleh satu pihak sahaja iaitu guru. Manakala penilaian dalam pembelajaran koperatif dilakukan bersama oleh semua pihak iaitu guru, serta ahli pasukan.

Setiap soalan yang ditujukan sebagai rangsangan akan berlakunya tindak balas dari anggota pasukan. Setiap anggota pasukan akan memberi pandangan, cadangan, sokongan atau bangkangan masing-masing dalam perbincangan tersebut.

Dengan secara tidak langsung setiap anggota dalam pasukan tersebut telah mampu memberi sumbangan menilai jawapan masing-masing. Ini memudahkan guru membuat keputusan penilaian dengan lebih adil serta dapat diterima oleh anggota pasukan secara terbuka.

Proses pemantapan secara berterusan.

Pembelajaran secara bekerjasama mampu meningkatkan kualiti hasilan pembelajaran.

Setiap kesilapan dan kelemahan dapat dibaiki dengan lebih cepat. Oleh itu pembelajaran koperatif secara langsung dapat memperbaiki dan memantapkan pembelajaran secara berterusan. Penilaian bukan lagi berlaku pada masa tertentu sahaja seperti mana yang berlaku dalam amalan tradisional tetapi penilaian, pemulihan dan pemantapan berjalan secara serentak dan berterusan sepanjang masa.

Keselarasan antara kurikulum dan penilaian

Masalah utama yang sering di alami dalam sistem pendidikan ialah tidak adanya keselarasan antara kurikulum dan penilaian.

Sesuatu penilaian tidak akan mencapai kesahannya sekiranya apa yang dinilai tidak selaras dengan kehendak kurikulum. Dalam pembelajaran koperatif penilaian akan dibuat berfokuskan sesuatu topik yang diberikan sama ada dalam bentuk perbincangan, penyelidikan atau kertas projek. Dalam hal ini penilaian akan lebih tepat serta menjurus kepada kehendak kurikulum iaitu topik yang diberikan.

Pembelajaran koperatif secara keseluruhannya mampu menilai ``kebestarian'' seseorang individu dengan lebih ``bestari''. Kebestarian dalam penilaian pembelajaran koperatif bukan hanya bergantung pada sejauh mana seseorang pelajar dapat meluah kembali apa yang dihafal tetapi memberi peluang menggunakan pelbagai idea rakan sebaya untuk menjana pemikiran dan mencipta idea baru yang lebih kreatif.

Persoalannya sejauh manakah pembelajaran koperatif ini dapat dilaksanakan di sekolah-sekolah. Kita renungilah persoalan ini secara koperatif.

DR. ISMAIL ZAIN
Adalah salah seorang panel jawatankuasa penggubal kurikulum untuk jurulatih utama Sekolah Bestari, Bahagian Pendidikan Guru, penyampai kertas kerja seminar, penulis buku serta seorang pakar motivasi pelajar dan guru.


 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum