Make your own free website on Tripod.com
Click here to download freeware

PENDIDIKAN

Utusan Malaysia 28 mac 2001

Lagak Melayu ...pelajar Cina dan India rasa terpinggir di SK

MUKADIMAH
Baru-baru ini, Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad berkata kaum Cina dan India tidak berminat ke sekolah kebangsaan (SK) kerana suasananya yang kurang menarik.

Mereka juga bimbang anak-anak mereka akan didorong menerima adat resam orang Melayu dan Islam.

``Kenyataan itu ada benarnya,'' akui Ketua Jemaah Nazir Sekolah, Kementerian Pendidikan, DATUK ABDUL RAHIM TAHIR.
Ikuti sedutan temu bual wartawan SALINA IBRAHIM bersama beliau di pejabatnya baru-baru ini.

SOALAN (S): Bagaimana pihak nazir sekolah melihat kenyataan Perdana Menteri (PM) baru-baru ini.

ABDUL RAHIM: Bagi saya, kata-kata PM ada kebenarannya tetapi bukan menyeluruh. Di sesetengah sekolah, ada guru sendiri menunjukkan unsur-unsur paksaan. Walaupun tidak mengatakan `mesti', tetapi ada `bahasa senyap' yang difahami.

Jadi orang menterjemahkannya begitu kerana gerak-geri memperlihatkan emosi. Emosi pula berkaitan apa yang terlintas dalam fikiran.

Dalam hal ini, kita harus hormat-menghormati. Kita tahu, semua agama menjurus kepada kebaikan tetapi amalan kita ada kalanya, tidak memperlihatkan yang benar.

Umpamanya, kita mengajar murid mengamalkan kebersihan. Tetapi di sekolah sendiri, kebersihan diabaikan. Orang bukan Islam melihat dan mereka keliru.

Gelagat dan lagak kita sendiri tidak menunjukkan apa yang sebenarnya. Orang berdakwah memang berniat baik tetapi ada ketikanya, lagak dalam melaksanakan cara menimbulkan pelbagai persepsi.

Persepsi orang lain di luar kawalan kita. Kalau murid Cina memakai seluar pendek, selalu disindir-sindir, ``jangan ikut perangainya.''

Inilah yang berlaku di sekolah kebangsaan. Barangkali inilah yang menjadi keberatan kaum lain. Mereka bukan tidak mahu tetapi agak berat. Tidak mengapa bagi mereka yang liberal tetapi bagi yang sensitif agak susah.

S: Jadi, benarlah berlaku senario ini?

ABDUL RAHIM: Ya, tetapi saya percaya, maksud PM, ia bukanlah menyeluruh. Oleh itu kita perlukan kaedah kritikan pendidikan. Wujudkan satu badan ilmu yang sah bagaimana cara menilai proses pendidikan secara adil.

Setiap kaum ada tabiatnya sendiri. Dalam Quran pun menyebut, ada hak orang bukan Islam yang harus kita hati-hati dan tidak berhak kita campuri.

Adakah guru besar yang ada kini terutama di bandar besar menyedari hakikat ini? Adakah wujud satu badan yang benar-benar memberikan panduan menguruskan hal seumpama ini?

Setahu saya, memang tiada satu badan ilmu dan kemahiran yang khusus memberikan kemahiran dalam menguruskan sekolah pelbagai kaum dan budaya.

S: Adakah guru besar di sekolah aliran kebangsaan tidak mahir menguruskan pelajar pelbagai kaum dan budaya?

ABDUL RAHIM: Bukan tidak mahir, tetapi maksud saya mereka tidak dibuka kepada bidang menguruskan sekolah yang terdiri daripada pelajar pelbagai kaum dan budaya.

Berdasarkan pengalaman dan pemerhatian nazir, kami nampak hal ini. Kita berpendapat perlu digubal suatu kurikulum untuk memberikan latihan khusus kepada guru besar.

Institut Aminuddin Baki (IAB) perlu mengadakan silibus dalam kursus kepengetuaan yang dijalankannya. Dalam sistem lama, barangkali mereka menganggap ia sesuatu yang boleh dikawal sekolah sendiri. Tetapi keadaan sudah berubah.

S: Tadi Datuk menyebut tentang kritikan pendidikan. Apa pentingnya ia sekarang dan masa depan?

ABDUL RAHIM: Saya berpendapat kritikan pendidikan juga perlu. Ini kerana pendidikan adalah perkara maha penting kepada negara sekarang dan masa depan.

Kontroversi dalam pendidikan akan berlanjutan pada masa depan dan boleh menyebabkan kurang perpaduan dalam masyarakat. Itulah penting kritikan pendidikan.

Dalam konteks yang sama, adalah sangat penting untuk kita fikirkan kewujudan mahkamah pengaduan pendidikan. Ini untuk mengelakkan tohmahan dan kata-mengata daripada berlanjutan.

Kalau pun ia tidak diperlukan hari ini, ia penting untuk masa depan.

S: Dalam soal perpaduan pula, bagaimana sistem sekolah kebangsaan berperanan?

ABDUL RAHIM: Apa definisi perpaduan? Apa yang kita mahu? Adakah perpaduan dalam erti kata satu fikiran, satu jiwa atau satu bangsa?

Perkelahian atau bertumbuk dari kaum yang sama, bukan disebabkan masalah bahasa, ilmu atau sekolah. Itu kerana hasad dengki.

Perpaduan mengikut dasar pendidikan kebangsaan adalah memahami satu sama lain, ada unsur mengerti atau sensitiviti. Hal ini banyak berlaku di sekolah-sekolah.

Soal kaum Cina sepuak, orang Melayu sepuak - ini perkara biasa. Bukan pelajar Cina yang tidak mahu campur tetapi pelajar Melayu sendiri yang tarik diri.

Kenapa? Sebab kaum Cina pandai bahasa Inggeris tetapi orang Melayu tidak. Di banyak sekolah kalau anda lihat, mereka bercampur dengan baik dan harmoni.

S: Sedar atau tidak, sistem pendidikan selalu menjadi `kambing hitam'. Apabila berlaku sesuatu isu, semua pihak menuding kepada pendidikan.

ABDUL RAHIM: Kerana itu kita perlukan kritikan pendidikan. Masyarakat selalu mengatakan dia lebih tahu tentang pendidikan. Kalau anaknya pandai, dia bangga mengatakan anaknya cerdik. Tapi kalau anak gagal, dia menuding jari, guru yang tidak pandai mengajar. Itu mentaliti sesetengah orang.

Cara paling baik ialah dengan membetulkan sikap kita terhadap pendidikan. Tidak semua masalah bermula dari sekolah.

Kerana itu kita perlukan dasar pendidikan awam untuk mendidik semula masyarakat. Jika kita terdidik, maka terdidiklah anak-anak.

Lihat masyarakat dulu, katanya, ``cikgu buatlah apa saja, asal jangan patah-riuk anak sudahlah.'' Hari ini perkara seumpama itu tidak berlaku.

S: Apa yang membezakan sekolah dulu dan sekarang?

ABDUL RAHIM: Saya melihat ia berpunca daripada sikap. Saya tidaklah menyokong guru memukul murid sesuka hati, tetapi mesejnya, orang dulu sangat percayakan guru.

Orang Cina pun sama, perkataan `sifu' (guru) selalu di mulut mereka. Orang kini tidak lagi buat begitu. Malah apabila anak mengadu, ibu bapa menokok tambah, ``memang cikgu kamu jahat.''

S: Apa cadangan Datuk supaya sistem aliran kebangsaan lebih menarik dan dapat membawa lebih ramai kaum Cina dan India belajar di sini?

ABDUL RAHIM: Pada pendapat saya, sistem piawaian tinggi yang diperkenalkan jemaah nazir sekolah antara cara yang dapat membantu. Sistem piawaian ini sudah pun dilancarkan. Sehingga tahun 2002, kami akan mengadakan sesi latihan dan promosi ke sekolah-sekolah. Pada tahun 2003, sekolah-sekolah akan melaksanakannya dan kita akan menilai kesannya mulai tahun 2004.

Langkah kedua, yang bersifat segera ialah dengan mengubah persepsi kaum, yang menganggap sekolah aliran kebangsaan cuba mengislamisasikan bukan Islam.

Murid kaum Cina dan India di kawasan minoriti terasa dipinggir dan dianaktirikan dengan lagak kaum Melayu. Justeru mereka patut diberikan penjelasan.

Ketiga, kita harus hormati hak semua pelajar. Dalam melaksanakan sebarang kegiatan yang khusus untuk pelajar Islam, haruslah mengambil kira sensitiviti bukan Islam. Janganlah seolah-olah mereka tidak wujud di kalangan kita.

Sebaik-baiknya harus dijelaskan kepada mereka mengenai kegiatan khusus melibatkan pelajar Islam. Kita sebenarnya satu keluarga. Malah Allah sendiri menyebut umat yang satu, oleh itu haknya harus dijaga.

Keempat, kita sepatutnya mengembalikan imej sekolah kebangsaan yang sebenarnya. Asalnya sekolah kebangsaan memang terbuka untuk semua kaum. Tetapi selepas beberapa tahun, ia seolah-olah sekolah untuk kaum Melayu saja.

Kelima, jadikan sekolah kebangsaan lebih baik dalam segala aspek seperti bangunan, kemudahan termasuk guru yang meliputi guru bahasa Cina dan bahasa Tamil, kelas muzik dan kemudahan sukan yang diminati pelajar bukan Melayu. Jika sistem sekolah kebangsaan dapat memenuhi keperluan pelajar kaum Cina dan Tamil, saya fikir, mereka tidak akan ke tempat lain.

Yang penting, redakan persepsi kaum Cina dan India mengenai imej sekolah kebangsaan. Dan kaum Melayu sendiri, dalam mengekalkan kemelayuan dan keislaman, janganlah sehingga mengetepikan konsep hikmah.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum