Click here to download freeware

PENDIDIKAN

Utusan Malaysia 01 April 2001

Cadangan ramaikan pelajar aliran agama di IPTA

BEBERAPA cadangan boleh dilaksanakan oleh pihak kerajaan bagi mengatasi masalah kesukaran pelajar aliran agama mendapat tempat di institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Setiausaha Agung Persatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (PMUKM), Abdullah Abdul Karim berkata, antara cadangan itu ialah mengadakan perubahan segera terhadap kurikulum sekolah agama terutama dari segi pemilihan mata pelajaran di peringkat Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Menurutnya, cadangan itu perlu kerana ia akan memungkinkan pelajar aliran agama meneruskan pelajaran di IPTA dalam bidang yang berbeza.

Jelasnya, hal itu boleh dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Negeri selaku pihak yang bertanggungjawab terhadap perjalanan sekolah menengah agama.

IPTA pula katanya, perlu berusaha meningkatkan pengambilan pelajar aliran agama untuk mengikuti kursus Pengajian Islam atau Undang-Undang Syariah.

``Tidak mustahil jika Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang ditubuhkan untuk kepentingan bangsa Melayu dapat mewujudkan Fakulti Pengajian Islam,'' katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Beliau mengulas laporan kajian yang dibentangkan dalam Bengkel Permasalahan Kemasukan Pelajar Aliran Agama ke IPTA anjuran Kolej Universiti Islam di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Selain itu, kata Abdullah, PMUKM berharap kerajaan dapat memberikan tumpuan terhadap pelajar yang mengambil peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Sijil Tinggi Agama (STA).

Menurutnya, jika masalah itu tidak diatasi maka kesannya terpaksa dipikul oleh pelajar aliran agama yang mungkin terpaksa melupakan hasrat untuk menyambung pelajaran ke IPTA kerana ruang yang ada terhad.

Malah jelasnya, kesan paling utama akibat permasalahan itu ialah survival orang Melayu dalam dunia pendidikan.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum