Make your own free website on Tripod.com
Click here to download freeware

PENDIDIKAN

Utusan Malaysia 31mac 2001

Sekolah satu aliran serlah daya saing murid

KEMAMPUAN sekolah kebangsaan (SK) akan lebih menonjol dan mampu menyerlahkan daya saing di kalangan muridnya, jika sistem persekolahan satu aliran diwujudkan.

Menurut Presiden Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof. Madya Mohd Ali Hassan, sekiranya semua murid dan guru tanpa mengira bangsa berada dalam satu sekolah, pastinya akan mewujudkan satu daya saing sihat di kalangan mereka.

Kini katanya, murid-murid diasingkan di dalam tiga aliran iaitu SK, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan SJK Tamil (SJKT).

``Ini menyebabkan persaingan hanya berlaku di kalangan mereka tanpa ada murid daripada kaum lain, `' katanya ketika dihubungi di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Mohd. Ali diminta mengulas rencana di ruangan Forum Utusan Malaysia baru-baru ini yang menyiarkan pendapat penulis kaum Cina mengenai pelaksanaan sekolah satu aliran.

Menurut penulis itu, kaum Cina terutamanya tidak berminat untuk menghantar anak-anak mereka ke SK kerana sekolah itu dikatakan tidak mampu mewujudkan daya saing di kalangan murid.

Justeru menurut penulis itu, SK perlu membaiki diri untuk menarik murid bukan Melayu untuk belajar di SK.

Tambah Mohd. Ali, semua pihak perlu faham dengan konsep satu aliran kerana peranannya amat besar dalam menentukan masyarakat Malaysia masa depan.

Sehubungan itu Mohd Ali meminta supaya Kementerian Pendidikan menerangkan tujuan, cara pelaksanaan dan kebaikan sekolah satu aliran kepada orang ramai.

Dekan Fakulti Kemanusiaan dan Sains Sosial, Universiti Tun Abdul Razak (Unitar), Prof. Datuk Dr. Ibrahim Bajunid pula berkata, setiap sekolah mempunyai keunikan tersendiri yang menjadi daya tarikan kepada murid-murid dan ibu bapa.

Justeru katanya, kementerian perlu berusaha untuk menaikkan taraf SK bagi mengubah perspektif bukan Melayu terhadap sekolah berkenaan.

``Bukan Melayu terutamanya Cina lebih meminati sukan seperti badminton, bola tampar dan bola keranjang tetapi sukan itu kurang diberi penekanan di SK,'' katanya.

Jelasnya lagi, sebagai contoh sekolah-sekolah aliran Inggeris pernah menjadi pilihan suatu masa dahulu kerana prestasinya yang baik dan berjaya melahirkan pelajar yang bermutu.

Begitu juga sekarang, sekolah-sekolah premium seperti Sekolah Menengah (SM) Victoria, SM Convent dan lain-lain lagi tetap menjadi pilihan pelajar dari semua bangsa dan soal aliran tidak menjadi hal.

Sehubungan itu katanya, perkara yang sama perlu dilakukan terhadap SK bagi menarik minat pelajar bukan Melayu.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum